Liga Super Malaysia Berita

Hati saya hanya di Kedah-Sandro

Pemain import Kedah, Sandro Da Silva mahu beraksi untuk semusim lagi bersama skuad Helang Merah.

Sandro yang meraikan penampilan ke-100 bersama Kedah sebelum ini dikatakan mungkin tidak lagi bersama Kedah apabila kontraknya tamat pada hujung musim ini.

Meskipun KFA belum mengadakan sebarang perbincangan denganya, beliau enggan menyertai mana-mana pasukan lain kerana mahu kekal setia bersama Kedah.

“Saya mahu beraksi untuk satu musim lagi bersama Kedah kerana saya sentiasa memiliki kesungguhan luar biasa setiap kali bersama pasukan ini. Saya tidak fikir akan menyertai mana-mana pasukan lain. Misi saya di sini masih belum tamat.

“Hati saya memang di sini dan ini terbukti dengan segala fokus yang telah saya curahkan bersama pasukan ini sejak 2015,” katanya kepada Berita Harian.

Disebabkan itu, Sandro mahu semua pemain Kedah bertungkus lumus menewaskan Kelantan dalam perlawanan akhir peringkat kumpulan dalam saingan Piala Malaysia, Ahad ini, sekali gus mara ke pusingan suku akhir.

“Semangat juang tinggi yang dipamerkan ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 31 Ogos lalu menjadi pegangan buat semua pemain untuk aksi di Kota Bharu nanti.

“Banyak pasukan yang tewas dan seri di sana, kerana Kelantan adalah pasukan yang kuat di laman sendiri. Kami perlu berhati-hati,” katanya.