Penyerang Perancis, Olivier Giroud mengakui berasa pelik apabila beliau akan bertemu Thierry Henry yang bertugas sebagai pembantu jurulatih malah menyarung baju berlencanakan negara Belgium.
Manakan tidak, selain Zinedine Zidane yang menjadi ikon bola sepak negara, Henry juga merupakan tonggak Perancis yang menjuarai Piala Dunia 1998 buat pertama kali dalam sejarah.
Beliau memiliki reputasi hebat dengan menyumbat 51 gol dalam 123 penampilan antarabangsa bersama Perancis membantu negaranya menjadi juara dunia dan Eropah tetapi kini Henry kembali ke pentas Piala Dunia dan berkhidmat untuk Belgium, bukannya tanah airnya sendiri.
“Sesuatu yang pelik untuk melihat beliau menentang kami,” kata Giroud.
“Beliau adalah legenda bola sepak Perancis.
“Beliau sudah menyumbang begitu banyak kejayaan kepada pasukan Perancis dan kami semua amat menghormatinya atas apa yang dilakukannya.
“Tetapi sudah tentu saya akan berbangga untuk membuktikan bahawa Henry berada di kem yang salah,” katanya.
Selepas menghabiskan kariernya bersama Arsenal, Henry yang kini berusia 40 tahun tidak banyak terbabit dengan bola sepak di Perancis sekali pun dianggap antara paling popular di negaranya.
Malah Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis, Noel Le Graet memberitahu AFP bahawa mereka kesal kerana tidak mempertimbangkan bakat yang ada pada Henry.
“Kami terlepas untuk melihat kebolehannya dan juga tidak banyak berhubungan dengan pihak persekutuan.”
“Kadang kala kehidupan boleh menjadi seperti itu. Beliau berada di England begitu lama dan saya secara peribadi tidak banyak menghubunginya,” katanya.
Le Graet juga memuji Henry yang menjadikan Belgium sebuah pasukan yang gemar menyerang.
Henry menyertai Belgium pada tahun 2016 sejurus selepas Martinez dilantik dan ketika ini Henry ditugaskan untuk membimbing penyerang seperti Romelu Lukaku dan Michy Batshuayi yang tampak menyinar di Rusia setakat ini.
Bekas penjaga gol Belgium, Jean-Marie Pfaff yang membantu skuad itu ke separuh akhir Piala Dunia 1986 berkata Henry akan ‘menjadi lawan Perancis paling utama’ di peringkat separuh akhir. – AFP