Liga Super Malaysia Berita

Disebabkan Kuantan FA, Liga Perdana akan singkir satu pasukan sahaja

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa hanya satu pasukan Liga Perdana akan tersingkir ke Piala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), musim depan.

Keputusan itu dibuat susulan badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu yang membatalkan penyertaan Kuantan FA dalam Liga Perdana pada April lalu.

MFL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat bagi mengekalkan bilangan pasukan yang dinaikkan dan diturunkan seperti dilakukan sebelum ini.

Katanya, tindakan itu juga diambil bagi memelihara tahap daya saing yang lebih kompetitif dalam Liga Perdana.

“Keputusan ini juga dibuat bagi mengelakkan penurunan kualiti sedia ada jika jumlah pasukan yang dinaikkan ke Liga Perdana tidak diselaraskan.

“Sehubungan dengan itu, pasukan ke-11 iaitu kedudukan terakhir dalam Liga Perdana akan diturunkan bersama Kuantan FA.

Ini bermakna pasukan ini sudah pun mewakili dua pasukan yang akan mengalami penyingkiran pada hujung musim.

“Seperti yang sudah ditetapkan, pasukan yang berada di tempat pertama dan kedua Piala FAM pula akan dinaikkan ke Liga Perdana musim depan,” kata MFL.

Penyertaan Kuantan FA dibatalkan serta merta oleh MFL selepas seluruh pasukan serta barisan kejurulatihan memboikot perlawanan Liga Perdana di Stadium Shah Alam pada 15 April lalu sebagai tanda protes terhadap majikan mereka yang tidak membayar gaji pemain selama tiga bulan.

Sehubungan dengan itu, Kuantan FA disingkirkan dari Liga Perdana dan kemenangan percuma 3-0 diberikan kepada lawan mereka, PDRM.