Kerajaan Rusia mendedahkan presidennya, Vladimir Putin telah membuat panggilan telefon secara rasmi kepada jurulatih Rusia, Stanislav Cherchesov semata-mata untuk menghilangkan rasa bimbang pasukannya terhadap sebarang kritikan yang akan dilemparkan sekiranya tewas kepada Sepanyol.
Bayangkan jika Tun Dr. Mahathir Mohamad melakukan perkara yang sama dengan membuat panggilan telefon kepada Tan Cheng Hoe pada kejohanan Piala AFF 2018 hujung tahun ini.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, Putin yang menonton perlawanan itu di televisyen tidak meletakkan sebarang tekanan ke atas pasukan kebangsaannya.
“Sebelum perlawanan, sekitar tengah hari tadi, presiden ada menghubungi jurulatih dan mengucap selamat maju jaya kepadanya,” menurut sebuah agensi berita Rusia.
“Beliau berkata di bawah kendalian Cherchesov, pemain sudah mencapai sesuatu yang mustahil dengan melepasi aksi peringkat kumpulan,” kata Peskov.
“Putin turut menegaskan sebarang keputusan daripada perlawanan itu tidak akan mengundang sebarang kritikan,” katanya.
Putin muncul antara individu penting dalam menjayakan kejohanan terulung dunia itu selepas membantu untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia buat pertama kali dalam sejarah.
Rusia kemudiannya membelanjakan sekitar AS$13 bilion (RM52 bilion) untuk menaik taraf 11 buah bandar terpilih sejak kejatuhan Soviet Union.
Rusia seterusnya akan berdepan bekas negara Yugoslavia iaitu Croatia yang menewaskan Denmark awal pagi tadi menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas terikat 1-1 setelah bermain selama 120 minit perlawanan. – AFP