Penjaga gawang Rusia, Igor Akinfeev berterima kasih kepada Tuhan, tuah dan penyokong di Stadium Luzhniki selepas pasukannya mengejutkan Sepanyol untuk mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1970.
Beliau dan rakan sepasukan berjaya mengheret Sepanyol ke masa tambahan meskipun bekas juara dunia itu menguasai permainan sejak mula perlawanan.
Sepanyol bermula dengan baik apabila sepakan percuma terkena kepada Sergei Ignashevich yang tertampan bola ke gawang sendiri.
Namun, gol pendahuluan itu tidak bertahan lama apabila Gerard Pique cuba menghalang bola menggunakan tangan, sekali gus memberikan sepakan penalti yang disudahkan dengan mudah oleh Artem Dzyuba.
Rusia kemudian menggunakan taktik menyerang balas dan bertahan sehingga 120 minit perlawanan.
Akinfeev menjadi wira Rusia apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti Koke dan Iago Aspas sementara empat pemain Rusia berjaya menyempurnakan sepakan penalti masing-masing.
Meskipun dianugerahkan dengan trofi penaja sebagai pemain terbaik perlawanan, Akinfeev sebaliknya memuji kehadiran 78,000 penyokong di stadium yang menjadi motivasi kepada mereka.
“Terima kasih kepada Tuhan,” kata Akinfeev.
“Pada separuh masa kedua, kami cuba bertahan. Kami mengharapkan penalti dan itulah yang terjadi.
“Terima kasih Tuhan, kami cukup bertuah.
“Saya bukan pemain terbaik perlawanan. Pemain terbaik perlawanan adalah pasukan ini dan juga penyokong.
“Kami mengharungi kempen Piala Dunia yang menakjubkan,” katanya.
Keputusan itu menyaksikan tuan rumah memenangi sepakan penalti penentuan buat kali kelima berturut-turut.
Ia juga kali kesembilan Sepanyol gagal menewaskan tuan rumah Piala Dunia atau Kejuaraan Eropah yang menyaksikan mereka tewas lapan kali termasuk empat aksi di Piala Dunia dan kali terakhir tewas menerusi penentuan sepakan penalti di tangan Korea Selatan pada 2002. – Reuters