Malaysia Berita

Yakult terus mengorak langkah positif dengan tiga inisiatif baru buat bolasepak Malaysia

 

Yakult, jenama minuman probiotik yang berasal dari Jepun ini bukanlah nama yang asing di kancah bolasepak tempatan – Yakult kini sedang menaja pasukan Kelantan, yang beraksi di pentas Liga Super Malaysia.

Namun, dalam suatu pengumuman yang dilakukan semasa acara MOHSKOR yang dianjurkan oleh Media Prima Berhad di Pusat Membeli Belah MyTown pada hujung minggu lepas, Yakult mengesahkan bahawa penglibatan mereka dalam kancah bolasepak Malaysia kini menjangkau tahap yang baru.

Malah, Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada menjelaskan bahawa inisiatif-inisiatif ini diambil kerana Jepun masih perlu mengingati jasa Malaysia dalam pembangunan bolasepak pada era 90-an.

“Kenapa Yakult mahu menaja bola sepak Malaysia? Ini kerana Jepun pernah terhutang budi dengan Malaysia. FA Jepun ditubuhkan pada 1993 dan kami telah belajar daripada FAM cara menguruskan bola sepak,” kata beliau.

Berikut adalah tiga inisiatif yang diumumkan dan dilaksanakan oleh Yakult Malaysia:

MINUMAN PROBIOTIK RASMI FAM & HARIMAU MALAYA

Ini adalah antara usaha paling menarik yang dilakukan oleh Yakult kerana mereka bukan sahaja setakat menaja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan jumlah tajaan yang tetap - tajaan ini sedikit sebanyak bergantung kepada rakyat Malaysia juga. Satu sen dari setiap botol Yakult yang dijual di negara ini akan disalurkan kepada FAM dan mechanisma ini diterapkan sejak bulan Januari 2018, sehingga penghujung 2020. Jadi, inisiatif ini turut memerlukan sokongan anda. Jika anda mahu membantu skuad kebangsaan secara langsung, ayuh beli minuman Yakult! Selain itu, minuman probiotik Yakult Ace dan Yakult Ace Light yang bernilai RM200,000 juga akan disumbangkan kepada semua skuad bola sepak dan futsal di bawah FAM untuk setiap tahun sehingga 2020.

MINUMAN PROBIOTIK RASMI PIALA MALAYSIA

Selain menjadi penaja FAM, Yakult turut mengambil inisiatif untuk melibatkan diri dalam kancah liga bolasepak tempatan. Untuk tahun ini Yakult sah akan menjadi penaja untuk Piala Malaysia 2018, yang dijadualkan bermula pada bulan depan. Semasa kempen Piala Malaysia dari Ogos hingga November, Yakult akan melaksanakan pelbagai aktiviti menarik di kesemua 61 perlawanan di seluruh negara, dan akan memberikan tiket perlawanan melalui akaun media sosial mereka (FB, Instagram @yakultmalaysia).

ANUGERAH IKON SUKAN YAKULT

Yakult turut mempunyai inisiatif yang berbentuk anugerah Ikon Sukan Yakult, yang pernah diberikan kepada penerjun negara, Pandelela Rinong dan juga bintang bolasepak, N. Thanabalan. Hujung minggu lepas, anugerah ini turut disampaikan kepada skuad B-23 Malaysia, yang mencipta sejarah di Kejohanan AFC B-23 tahun di Kunshan pada bulan Januari lepas. Anugerah tersebut diterima oleh ketua jurulatih skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee dan juga tiga wakil pemain, iaitu Irfan Zakaria, Syazwan Andik dan juga Thanabalan.