Luar Negara Piala Dunia 2018

Susah sangat Argentina nak menang, kata Messi

Lionel Messi langsung tidak menyangka bahawa pasukan negaranya akan mengambil masa yang begitu lama untuk menjaringkan gol menentang Nigeria dan mencatatkan kemenangan 2-1 pagi tadi, sekali gus layak ke pusingan kalah mati.

Messi meletakkan Argentina di depan pada minit ke-14 tetapi Nigeria menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Victor Moses pada minit ke-51.

Walaupun memiliki barisan penyerang terkemuka dan digeruni oleh mana-mana pihak lawan, yang menjaringkan gol kemenangan akhirnya merupakan seorang pemain pertahanan, Marcos Rojo pada minit ke-86.

“Kami tahu bahawa kami akan menang, kami yakin Tuhan akan membantu kami, kami percaya semuanya akan berubah tetapi kami tidak pernah membayangkan bahawa kami akan bergelut sebegini rupa.

“Apa yang penting sekarang ialah kami sudah layak ke pusingan kedua,” kata Messi.

Iceland yang berhempas pulas untuk menewaskan Croatia terpaksa menerima kekalahan 2-1 sekali gus mengakhiri kempen Piala Dunia mereka.

Argentina akan menentang Perancis di pusingan 16 terakhir manakala Croatia yang layak selaku juara Kumpulan D akan bertemu Denmark.

Hantaran Ever Banega dipuji apabila ia disambut baik oleh Messi sebelum melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol Nigeria, Francis Uzoho untuk gol pertama Argentina.

Kehadiran Banega dalam pasukan cukup melegakan Jorge Sampaoli dan pemain tengah Sevilla itu memberikan tenaga yang amat diperlukan pasukannya.

Namun ketika cuba mempertahankan kubu pertahanannya, Javier Mascherano mengasari Leon Balogun dan pengadil Turki, Cuneyt Cakir tidak teragak-agak untuk menghadiahkan sepak penalti yang mudah disempurnakan Moses bagi mengikat kedudukan. – AFP