Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Analisis: Jaringan lewat Gimenez bantu Uruguay raih kemenangan dramatik ke atas Mesir

Uruguay berjaya memulakan kempen Piala Dunia 2018 dengan nada positif selepas jaringan lewat Jose Gimenez membantu mereka menewaskan Mesir di Ekaterinburg Arena malam ini.

Mesir turun beraksi tanpa Mo Salah, namun anak buah Hector Cuper tampil dengan aksi yang positif, terutamanya pada babak pertama. Namun, Uruguay berjaya bangkit semula pada pertengahan babak kedua, sebelum Gimenez menghancurkan hati jutaan rakyat Mesir pada minit ke-89.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan ketika perlawanan tadi:

89 minit untuk menewaskan Uruguay

Biarpun mempunyai skuad yang lebih bagus atas kertas, Uruguay mengambil 89 minit untuk menewaskan El Shenawy, yang cukup cemerlang malam ini. Penjaga gol Mesir itu melakukan tepisan demi tepisan, terutamanya pada 20 minit terakhir, apabila Cavani dan Suarez mula melakukan percubaan dengan lebih kerap dan agresif. Namun akhirnya, Uruguay memerlukan pertolongan seorang pemain pertahanan, Jose Gimenez, untuk menewaskan El Shenawy dengan tandukan yang mantap.

Taktik 4-4-4 Uruguay dibaca dengan mudah oleh Mesir

Biarpun formasi 4-4-2 ini selalu digunakan pasukan Uruguay, malam ini pergerakan mereka dibaca dengan mudah dan sistematik oleh barisan pemain Mesir. Hegazy dan Gabr mengawal Suarez dan Cavani, manakala Elneny dan Tarek Hamed pula bermain dengan 'defensive line' yang rendah untuk mengekang laluan-laluan yang diperlukan oleh pemain tengah Uruguay untuk mencari dua penyerang mereka. Pada babak kedua, Oscar Tabarez cuba meningkatkan intensiti permainan dan memaksa dua pemain sayapnya untuk menyerang dengan lebih agresif. Namun, barisan pertahanan Mesir terus cemerlang dalam mengawal gawang sendiri.

Impak Diego Godin

Walaupun Uruguay mengawal tempo perlawanan malam ini, Mesir ada mencipta beberapa peluang berbahaya, terutamanya pada babak pertama. Namun, segala harapan mereka dimusnahkan oleh Diego Godin, yang terus mengemudi bahagian pertahanan Uruguay dengan cemerlang. Dia bukan sahaja agresif, dan boleh menggunakan kekuatan fizikal - namun Godin turut bijak dalam membaca pergerakan pemain lawan.

Trezeguet muncul pemain paling bahaya Mesir

Mohamed Salah jelas merupakan pemain bintang Mesir, namun malam ini, Mahmoud Hassan, atay lebih dikenali sebagai Trezeguet, muncul pemain Mesir yang paling bahaya di atas padang. Setiap kali Mesir cuba melakukan serangan balas, individu yang dicari adalah Trezeguet. Pemain muda ini menggunakan kreativitinya untuk melepasi pemain-pemain pertahanan Uruguay, dan cukup rajin dalam menekan pemain lawan. Dia turut mempunyai kepantasan yang sedikit sebanyak memberi masalah kepada bek kanan Uruguay, Guillermo Varela.

Debat Tua vs Muda

Oscar Tabarez menurunkan pemain-pemain muda seperti Nandez dan Arrascaete dalam kesebelasan pertama namun adakah itu keputusan yang tepat? Jika Mesir lebih efektif pada babak pertama, Uruguay mula mengawal perlawanan pada babak kedua, terutamanya selepas kemasukan pemain-pemain seperti Carlos Sanchez dan Christian Rodriguez. Kedua-dua pemain tersebut lebih berpengalaman di pentas antarabangsa, dan faktor itu membantu mereka menekan Mesir dengan lebih bijak.