Ketua jurulatih Manchester United, Jose Mourinho dilaporkan tidak akan menandatangani pemain pertahanan kiri baharu sebaliknya beliau akan cuba mendapatkan penyerang baharu bagi musim depan.
Menurut The Independent, Mourinho bimbang dengan bahagian serangan dan mahu mencari sekurang-kurangnya seorang pemain yang boleh digilirkan dengan Romelu Lukaku.
Man United sudah lama menaruh minat terhadap pemain Juventus, Alex Sandro dan pemain Celtic, Kieran Tierney setelah Luke Shaw gagal membuktikan yang beliau layak bermain sebagai pemain utama pasukan.
Disebabkan itu, peminat Man United menjangkakan Mourinho akan menandatangani pemain baharu yang lebih berkualiti.
Namun Mourinho dikatakan tidak akan berbuat demikian dan akan mengekalkan Shaw serta Ashley Young yang tampil cemerlang di posisi kiri musim lepas.
Meskipun Man United mempunyai banyak pilihan selain Lukaku seperti Marcus Rashford dan Alexis Sanchez namun corak permainan mereka agak berbeza dengan penyerang yang dimahukan Mourinho iaitu yang serupa seperti Lukaku dan boleh bermain menggunakan kekuatan fizikal.
Inilah sebabnya mengapa Mourinho sering memantau Marko Arnautovic dan Mario Mandzukic tetapi masih dalam proses mencari pilihan lain yang kemungkinan tidak melibatkan yuran perpindahan yang terlalu mahal.
Musim lepas, Zlatan Ibrahimovic merupakan penjaring terbanyak Man United apabila menjaringkan 28 gol dalam semua pertandingan dan 17 gol dalam liga.
Namun selepas Ibrahimovic meninggalkan kelab itu, Man United hanya mempunyai Lukaku sahaja yang menjaringkan 27 gol dalam semua pertandingan dan 16 gol dalam liga.