Setiap Piala Dunia pasti akan ada masalah dan kerisauannya yang tersendiri. Bagi Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung di Russia, apa yang akan menjadi kerisauan bagi FIFA dan pasukan yang bertanding adalah sentimen perkauman yang sering terjadi di Russia.
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah menyediakan satu proses yang perlu diikut oleh pegawai perlawanan jika berlaku apa-apa insiden berkaitan perkauman ketika perlawanan.
FIFA telah memberikan tiga langkah yang perlu diikut – hentikan, tangguhkan atau batalkan perlawanan.
Apa sebenarnya tiga langkah FIFA ini?
Hentikan – Jika ada sebarang tindakan atau kecaman berbentuk perkauman, pengadil akan menghentikan seketika perlawanan dan meminta agar pengumuman dilakukan supaya kecaman atau ejekan dihentikan.
Tangguhkan – Jika kecaman berbentuk perkauman itu tidak berhenti, pengadil mempunyai kuasa untuk menangguhkan perlawanan, memohon satu pengumuman lagi dibuat, dan tunggu sehingga kecaman atau ejekan berhenti.
Batalkan – Jika kecaman berbentuk perkauman itu tetap tidak berhenti, pengadil mempunyai kuasa untuk membatalkan perlawanan.
Selain tiga langkah ini, FIFA juga akan mempunyai tiga pemantau anti diskriminasi yang akan berada di kawasan tempat duduk penonton bagi memantau penyokong.
Sistem ini pernah digunakan ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia dan juga Piala Konfederasi yang lalu.
Bolasepak dan Piala Dunia adalah acara yang dinanti oleh peminat di seluruh dunia, pastinya tiada siapa yang pun yang mahu mana-mana perlawanan dihentikan kerana tindakan tidak bermoral ini.
Apa yang diharapkan adalah semoga Piala Dunia ini akan menjadi penggerak untuk menghentikan terus semua tindakan buruk dan bersifat perkauman ini.