Piala Dunia 2018 Berita

Piala Dunia 2018: 10 pemain yang terpaksa diketepikan pada saat terakhir atas sebab kecederaan

Peluang beraksi di pentas Piala Dunia merupakan impian setiap pemain bolasepak di luar sana, namun realitinya adalah hanya segelintir pemain-pemain yang menerima peluang tersebut, setiap empat tahun sekali.

Namun, ada juga pemain-pemain yang terpaksa diketepikan pada saat terakhir, walaupun pada mulanya diberi peluang berada dalam senarai penuh 23 pemain sesebuah pasukan. Perkara ini cukup tragik, dan jelas mampu menghancurkan mental seseorang pemain.

Berikut adalah senarai 10 pemain yang terpaksa diketepikan pada saat terakhir atas sebab kecederaan:

Sergio Romero (Argentina)

Bintang Man Utd ini dijangka menjadi penjaga gol utama Argentina di Piala Dunia 2018, namun kecederaan lutut yang dialami pada pertengahan bulan lepas memaksa Jorge Sampaoli untuk mengeluarkan Romero daripada skuad rasmi Argentina. Penjaga gol Chelsea, Willy Cabalero kini akan menggalas tugas selaku penjaga gol utama La Albiceleste.

Lee Keun-ho (Korea Selatan)

Bekas pemain terbaik di Asia ini mengalami kecederaan lutut yang serius ketika beraksi untuk Gangwon FC di Korea Selatan, sekaligus memaksa Shin Tae-yong untuk mencari pengganti buat pemain yang cukup berpengalaman itu.

Moses Simon (Nigeria)

Pemain yang kini menjadi sasaran Liverpool ini menjadi pilihan ramai untuk menyinar di Piala Dunia, namun kecederaan pinggang yang dialaminya ketika sesi latihan skuad Super Eagles bulan lepas bermakna Moses tidak akan beraksi di Rusia.

Ruslan Kambolov (Rusia)

Kambolov, pemain pertahanan Rubin Kazan, yang turut mampu beraksi sebagai 'defensive midfielder' tidak akan beraksi di Russia selepas mengalami kecederaan betis. Dia telah digantikan dengan pemain veteran, Sergei Ignashevich.

Nestor Araujo (Mexico)

Pada mulanya, Araujo mengalami kecederaan lutut ketika beraksi untuk kelabnya pada bulan Mac lepas. Dia tetap dimasukkan ke dalam skuad sementara Mexico, biarpun tahap kecergasannya dipersoalkan oleh doktor pasukan Mexico. Akhirnya, Araujo terpaksa diketepikan selepas disahkan mengalami masalah tendonitis.

Kwon Chang-hoon (Korea Selatan

Ini merupakan berita yang cukup sedih bagi setiap peminat Korea Selatan. Kwon Chang-hoon merupakan antara pemain terbaik Korea Selatan, namun dia tidak akan turun beraksi di Rusia ekoran kecederaan Achilles yang dialami dalam perlawanan terakhir Ligue 1 bersama Dijon.

Kamil Glik (Poland)

Pemain pertahanan AS Monaco ini terpaksa diketepikan oleh skuad Poland selepas beliau mengalami kecederaan bahu apabila cuba melakukan sepakan gunting dalam sesi latihan, minggu lepas.

Manuel Lanzini (Argentina)

Lanzini cukup disukai oleh Jorge Sampaoli namun jurulatih Argentina itu kini terpaksa mengeluarkan bintang West Ham itu daripada skuadnya selepas dia mengalami kecederaan ACL dua hari lepas.

Alberto Quintero (Panama)

Harapan Panama mencipta kejutan di Rusia diberi tamparan hebat selepas pemain bintang mereka, Alberto Quintero mengalami kecederaan metatarsal baru-baru ini.

Nicklas Bendter (Denmark)

Dikenali sebagai 'Lord Bendtner', penyerang Rosenborg ini terpaksa dikeluarkan dari skuad Denmark pada saat terakhir selepas disahkan mengalami kecederaan 'groin'. Agak susah untuk membayangkan sebuah kejohanan Piala Dunia tanpa kehadiran Nicklas Bendtner.