Piala Dunia 2018 Luar Negara

Previu Perancis di Piala Dunia 2018: Harapan Les Bleus mengulangi kejayaan skuad 1998

Tahun ini, genap 20 tahun Perancis memenangi satu-satunya kejuaraan mereka di Piala Dunia. Ketika itu, Zinedine Zidane dan rakan sepasukannya menundukkan Brazil 3-0 dalam aksi final di Stade De France, gelanggang keramat mereka.

Perancis sering menyertai saingan Piala Dunia. Mereka beraksi di pusingan akhir sebanyak 14 kali, lima kali di separuh akhir dan menjuarai edisi 1998, sebelum tewas kepada Itali di final edisi 2006, sekaligus membuktikan Perancis tidak boleh dipandang mudah walaupun mereka kini berada di ranking ketujuh FIFA.

Dalam saingan kali ini, pengurus pasukan, Didier Deschamps membawa kesemua pemain terbaik yang mereka miliki bersama sekumpulan pemain muda yang berbakat. Bermula dari Paul Pogba, Antoine Griezmann, Kylian Mbappe, N’Golo Kante, Raphael Varane sehingga penjaga gol senior, Hugo Lloris.

Sudah pasti Les Bleus ingin melupuskan status jaguh kampong yang diterima daripada media Eropah selepas sering gagal menampilkan kejayaan apabila beraksi di luar Perancis dan Eropah.

Selepas gagal menjuarai Piala Eropah 2016, semestinya skuad kendalian Deschamps yang digelarkan generasi emas Perancis mahu mengulangi kejayaan 20 tahun lalu di Piala Dunia.

Senarai pemain

Deschamps telah menyenaraikan 23 orang pemain yang akan dibawa ke Russia pada bulan depan. Daripada nama yang diumumkan, pengendali berusia 49 tahun itu hanya mengekalkan sembilan nama daripada skuad Piala Eropah 2016, iaitu Lloris, Pogba, Griezmann, Olivier Giroud, Blaise Matuidi dan Steve Mandanda.

Bakinya adalah pemain-pemain yang tampil cemerlang bagi musim 2017/18. Antaranya adalah penjaring kedua terbanyak Ligue 1, Florian Thauvin, bintang muda Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe dan Presnel Kimpembe, tonggak tengah Lyon, Nabil Fekir, sehingga gandingan Sergio Ramos di Real Madrid, Raphael Varane, yang terlepas saingan Piala Eropah 2016 akibat kecederaan.

Malangnya, Les Bleus tidak akan menerima khidmat dua pemain berpengalaman iaitu Laurent Koscielny dan Dimitri Payet kerana mengalami kecederaan di penghujung musim.

Kekuatan

Daripada semua nama yang dibawa, kekuatan Perancis terletak di bahagian tengah dan sayap. Terdapat beberapa nama yang akan menjadi pertaruhan Deschamps iaitu Ppogba, Kante, Mbappe dan Griezmann. Bukan merendahkan kebolehan pemain lain tetapi tonggak itu akan menjadi watak utama dalam permainan Perancis di Russia nanti.

Selain pemain berpengalaman, Deschamps juga menyediakan beberapa pemain kejutan seperti Thauvin, Fekir, Thomas Lemar dan Ousmane Dembele.

Kelemahan

Jika bercakap soal kesebelasan utama, sukar untuk mencari kelemahan Perancis di Russia nanti. Bermula daripada penjaga gol sehingga penyerang, mereka dibarisi pemain berkualiti tinggi. Namun, sesuatu yang patut dibimbangkan Deschamps adalah kekuatan mental anak-anak buahnya apabila beraksi di luar Perancis.

Ketika aksi kelayakan, mereka gagal meraih kemenangan dalam dua aksi di luar Perancis, iaitu sewaktu seri dengan Belarus dan tewas di tangan Sweden. Jika melihat aksi final Piala Eropah 2016, kekuatan mental pemain Perancis sangat teruk setelah gagal mendapatkan sebarang jaringan. Mereka mudah melepaskan jaringan tunggal Eder ketika beraksi dalam masa tambahan.

Pemain utama

Dalam barisan penyerang Perancis, Griezmann menjadi pemain yang paling banyak mencatat jaringan di peringkat keab. Penampilannya bersama Atletico Madrid pada musim ini telah diakhiri dengan status penjaring terbanyak kelab dengan jumlah 29 gol dan 15 bantuan jaringan untuk memberikan gelaran juara Liga Europa. Ia menjadi bukti dirinya mampu menjadi pertaruhan Deschamps untuk menyumbat gol serta membuka ruang buat rakan sepasukannya.

Jangkaan formasi

Melihat aksi penghujung ketika peringkat kelayakan dan dua aksi pemanas badan terakhir, Deschamps kerap menggunakan 4-2-3-1 jika Griezmann diturunkan sejak awal permainan. Di gawang, posisi itu semestinya dipenuhi oleh Lloris, sambil gandingan Real Madrid-Barcelona dapat dilihat menerusi Samuel Umtiti dan Varane selaku bek tengah. Lucas Hernandez atau Benjamin Mendy akan mengisi posisi bek sayap bersama Djibril Sidibe.

Dua posisi tengah bertahan akan digalas oleh Pogba dan Kante. Untuk dua serangan sayap, kemungkinan Deschamps akan memberikan kepercayaan buat Lemar dan Mbappe. Griezmann akan memainkan peranan selaku pembantu penyerang tunggal di belakang Olivier Giroud.

Formasi ini akan berubah kepada 4-4-2 jika Griezmann digandingkan di barisan depan bersama Giroud dan Deschamps dilihat telah mencuba taktikal itu beberapa kali ketika aksi pemanas badan serta peringkat kelayakan.

Peluang di Piala Dunia

Sejak undian diselesaikan, Perancis menjadi pilihan untuk melepasi peringkat kumpulan kerana di atas kertas, lawan yang harus dihadapi seperti Peru, Denmark dan Australia tampak tidak memberikan masalah buat mereka. Status juara kumpulan seharusnya mudah diraih Perancis dalam saingan kali ini. Malah, beberapa media di Eropah menjangkakan pasukan dengan maskot ayam jantan itu mampu melangkah sehingga ke separuh akhir dan mungkin bergelar juara. Namun, jika tidak focus, mimpi ngeri edisi 2002 tidak mustahil akan berulang dimana mereka gagal melepasi peringkat kumpulan walaupun memiliki pasukan hebat ketika itu.