Liga Super Malaysia

Analisis: Kuala Lumpur pamer aksi bertahan penuh disiplin, Ramazotti gagal bantu PKNS

Kuala Lumpur kembali menemui rentak kemenangan apabila menghampakan Datuk K. Rajagopal dan PKNS dengan aksi pertahanan yang cukup berdisiplin. Kuala Lumpur membuka jaringan menerusi sepakan percuma Paulo Josue sebelum Faris Ramli menyamakan kedudukan. Guilherme De Paula menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan separuh masa pertama yang menjadikan keputusan akhir City Boys menang 2-1.

 

Menara bertiga Kuala Lumpur

Kuala Lumpur kembali menggunakan formasi tiga pertahanan tengah dengan Mohamad Hisyamudin Mohamad Sha’ari berganding dengan Achmad Jufriyanto dan Boburjon Akbarov. Azmeer yang lebih defensive kembali ke bek kiri menggantikan tempat Syazwan Andik. Dengan kembalinya Guilherme De Paula, Kuala Lumpur lebih banyak menghantar bola tinggi yang mampu mencabar Zac Anderson dan Rodney Calvin sambil Zaquan Adha bersedia untuk mendapatkan second ball. Paulo Josue ditugaskan untuk merancang serangan, Indra Putra lebih agresif memberi tekanan kepada pemain PKNS dan Irfan Zakaria disiplin membantu bahagian pertahanan.

PKNS kuasai bahagian sayap

Walaupun dilihat seakan-akan menggunakan formasi 4-5-1, tetapi PKNS sebenarnya bermain dengan dua penyerang, Rafael Ramazotti dan Romel Oswaldo beraksi dengan Ramazotti sudah dijangka akan dikawal ketat oleh tiga pertahanan tengah Kuala Lumpur. Selain itu, seorang lagi pemain import, Jonatan Acosta yang ditugaskan untuk membantu di bahagian tengah gagal memberikan impak yang sewajarnya untuk membantu Ramazotti dan Oswaldo. Dua pemain bek PKNS, Daniel Ting dan Shahrul Azhar Ture banyak membantu menyerang di bahagian sayap dengan Faris Ramli dan Nurridzuan menambahkan jumlah pemain di tengah bagi menebuk benteng Kuala Lumpur.

'Wak Doyok' beri pilihan fizikal kepada City Boys

Kehadiran Guilherme De Paula sememangnya mengubah corak permainan Kuala Lumpur. Mereka dilihat lebih berbisa ketika situasi set piece. Ini boleh dilihat pada jaringan pembukaan Kuala Lumpur oleh Paulo Josue. Hampir semua pemain pertahanan dan penjaga gol PKNS, Shahril Sa’ari dilihat terlampau memberi perhatian kepada De Paula sehingga gagal melihat tujuan sebenar Josue yang merembat terus ke gawang PKNS. Begitu juga dengan jaringan kedua Kuala Lumpur apabila pertahanan terlalu fokus dengan De Paula sehingga membiarkan Zaquan. Percubaan Zaquan sedikit lemah tetapi cukup kuat untuk bola sampai ke arah De Paula yang kini tidak dikawal ketat apabila pertahanan PKNS cuba menghalang sepakan Zaquan. De Paula menggunakan fizikalnya untuk menghalang Zac Anderson dari mendapatkan bola dan dia menolak masuk bola ke gawang PKNS.

KL biar PKNS kuasai sayap, fokus bahagian tengah

Fabio Maciel tahu taktikal PKNS yang pastinya akan banyak bermain bola tinggi ke Ramazotti dan menggunakan bahagian sayap. Dia membiarkan PKNS menyerang menerusi bahagian sayap dengan memenuhkan bahagian tengah. Tiada pilihan untuk menembusi bahagian tengah, pastinya PKNS akan banyak menghantar bola dari bahagian sayap dan ketika itu ada tiga pemain pertahanan tengah dan dua pemain bek Kuala Lumpur bersedia untuk menghalang bola dari sampai ke pemain PKNS. Gol PKNS terhasil apabila Safee Sali dimasukkan bagi menggantikan Jonatan Acosta. Kehadiran Safee Sali yang lebih pantas dan banyak cuba menyerang di bahagian tengah telah membuatkan taktikal KL sedikit terganggu apabila PKNS tidak lagi cuba menyerang dari bahagian sayap. Tekanan demi tekanan akhirnya membuahkan hasil apabila Faris Ramli berjaya menjaringkan gol menerusi bantuan Safee Sali.

PKNS tukar taktikal tetapi terus buntu

Ketinggalan 2-1 di separuh masa pertama, Datuk K. Rajagobal menukar taktikalnya di separuh masa kedua. Menyedari taktikal menyerang dari bahagian sayap dan membuat hantaran tinggi ke Ramazotti, PKNS lebih banyak membuat hantaran rendah dan mempercepat tempo permainan di separuh masa kedua. Ramazotti pula banyak menyasarkan Achmad Jufriyanto kerana tahu dia mempunyai kelebihan fizikal ke atas pemain pertahanan Indonesia itu. Tetapi Kuala Lumpur terus bertahan dan setiap kali PKNS datang menyerang, lapan orang pemain Kuala Lumpur akan bertahan, hanya Guilherme De Paula dan Ashri Chuchu yang dimasukkan menggantikan Zaquan Adha pada separuh masa kedua tinggal di atas.