Santai Luar Negara

Aksi-aksi binatang yang pernah tampil menghiburkan penonton di stadium

Hampir semua pasukan bola sepak mempunyai mascot, namun tidak banyak yang memiliki mascot binatang sebenar. Beberapa binatang yang menjadi maskot untuk beberapa kelab ini sering diajak ke stadium untuk beraksi serta menghiburkan penonton.

Di bawah ini merupakan senarai binatang yang menjadi maskot serta bagi yang sekadar beraksi di sesebuah perlawanan. Perlu diingat bahawa kami tidak menyokong sekiranya terdapat unsur yang menganiaya binatang dalam persembahan mereka.

Hennes

Hennes merupakan maskot kambing yang menjadi kebanggaan FC Koln. Kambing yang pada mulanya diberikan nama Berti ini memenangi sebuah pertandingan yang diadakan oleh kelab dan akhirnya menggunakan nama Hennes VIII. Dia diperkenalkan pada awal musim 2008/09 dan ketika ini berada di pondok binatang di Cologne. Hennes beberapa kali telah dilihat di stadium dan meraikan jaringan bersama pemain-pemain.

Olimpia

Helang yang menjadi maskot dari Lazio pada mulanya diberi nama Dulcinea, namun selepas sebulat suara daripada pihak kelab dan penyokong pasukan, helang emas Amerika itu memakai nama Olimpia. Olimpia juga sering dilihat di stadium dan penonton-penonton disajikan dengan aksi helang yang terbang di dalam Stadium Olimpico.

Kayla

Selain Lazio, kelab dari England, Crystal Palace, turut menggunakan helang sebagai maskotnya. Helang yang diberi nama Kayla ini juga sering berada di Selhurst Park. Sayangnya, pada 2017, Kayla terpaksa dikurung dan tidak melakukan penampilan kerana bimbang akan selesema burung yang tersebar ketika itu.

Aguia Vitoria

Sebuah lagi pasukan yang menggunakan helang sebagai maskot adalah Benfica. Kelab dari Portugal ini memberikannya nama Aguia Vitoria. Setiap kali sebelum aksi bermula, Vitoria akan terbang mengelilingi Estadio Da Luz dan akan hingga di symbol kelab yang berada di tengah padang.

Monyet di Liga Jepun

Monyet tanpa nama ini pernah tampil dalam sebuah perlawanan antara Cerezo Osaka dan Vissel Kobe. Ia dikenakan pakaian khas berwarna merah jambu Cerezo dan akan membawa bola untuk diberikan kepada pengadil. Walaupun untuk tujuan keselamatan, agak menyedihkan melihat ia dipasangkan rantai pada lehernya.

Beruang di Russia

https://www.youtube.com/watch?v=dvjGTcCTPMs

Beruang ini masih menjadi bualan ramai sehingga hari ini. Sama seperti monyet yang tampil di Jepun, beruang ini juga diberikan tugas untuk menghantar bola kepada pengadil, sebelum menepuk tangan kea rah penonton. Beberapa protes telah berlaku kerana menganggap tindakan membawa beruang itu tidak berperikemanusiaan dan merbahaya.