Santai Luar Negara

Senarai pasukan ‘underdog’ di Eropah yang menunjukkan prestasi terbaik musim ini

Musim 2017/18 menyaksikan beberapa pasukan daripada liga-liga di Eropah menampilkan kejutan. Pasukan-pasukan ini bukan pilihan ramai atau atau dikategorikan sebagai “underdog” namun mereka berjaya menunjukkan aksi yang cukup baik di liga masing-masing dan saingan Eropah.

Berikut adalah senarai beberapa pasukan itu.

 

Real Betis

Mereka mempamerkan aksi longlai di pusingan pertama LaLiga musim ini dan kebangkitan mula dipamerkan sejak mencatat kemenangan bersejarah 5-2 ke atas musuh setempat, Sevilla. Sejak itu, skuad kendalian Enrique Setien ini meraih kemenangan demi kemenangan. Kehadiran bekas benteng Barcelona dan Borussia Dortmund, Marc Bartra, menjadi kunci utama di barisan bawah mereka.

Burnley

Kelab kecil yang menduduki kelompok bawahan liga pada musim 2016/17 ini tampil mengejutkan pada musim ini. Tanpa bintang bertaraf dunia, skuad bimbingan Sean Dyche masih menghantui Arsenal yang berada di tangga ketujuh liga. Jika kelab London itu melakukan sedikit kesilapan, Burnley akan menikmati aksi di Liga Europa pada musim depan.

Lazio

Agak kurang adil untuk meletakkan Lazio dalam senarai ini kerana mereka merupakan kelab gergasi ketika era 90-an. Namun, tidak ramai yang berani meletakkan harapan skuad kendalian Simone Inzaghi mampu bersaing dengan Juventus, Napoli, AS Roma serta dua kelab Milan. Hakikatnya, mereka kini dilandasan terbaik untuk beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.

Eintracht Frankfurt

Mungkin kita ketika ini tidak menyedari akan kehebatan pasukan dari kota Frankfurt ini di Bundesliga ketika era 70 dan 80-an. Pasukan kendalian jurulatih yang akan mengemudi Bayern Munich pada musim depan, Niko Kovac, ini mampu bersaing dengan kelompok atasan dan pertengahan pada musim ini.

AZ Alkmaar

Selepas pengurus ikonik, Louis Van Gaal, meninggalkan pasukan, AZ Alkmaar tidak dapat menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik di Belanda. Mereka mengejutkan semua pihak apabila meraih gelaran Eredivisie Belanda pada 2008/09 tetapi sejak itu, mereka hanya menduduki kelompok pertengahan dan beraksi di Liga Europa. Di bawah bimbingan John van den Brom pada musim ini, AZ berjaya menembusi kuasa PSV Eindhoven, Ajax Amsterdam dan Feyenoord Rotterdam. Mereka kini selesa di tangga ketiga liga dan jauh mengatasi Feyenoord yang berada di tempat keempat. Kemungkinan besar akan beraksi di play-off Liga Juara-Juara Eropah.

Young Boys

Dari Liga Switzerland, dominasi FC Basel sebagai juara selama lapan musim akhirnya diancam. Kelab yang mencabar itu adalah pasukan dari kota Bern, Young Boys. Pasukan yang memenangi liga buat kali terakhir pada 1986 ini tampil luar biasa di bawah bimbingan bekas pengurus RB Salzburg, Adi Hutter.

Braga

Seperti Liga Belanda, liga tertinggi Portugal juga dikuasai oleh tiga pasukan, iaitu Benfica, FC Porto dan Sporting Lisbon. Namun, musim ini menyaksikan kemunculan Sporting Braga yang sentiasa memberikan masalah kepada tiga kelab itu. Jika konsisten, Braga akan mengatasi Sporting Lisbon untuk menjadi salah satu wakil ke Liga Juara-Juara musim depan.

RB Salzburg

Terakhir, tentunya kita terpesona dengan aksi RB Salzburg. Kelab milik Red Bull ini sudah menjadi pasukan gergasi di Bundesliga Austria dalam lima tahun terakhir, sekaligus muncul sebagai juara bertahan pada ketika ini. Namun, tiada siapa menjangkakan mereka akan layak ke separuh akhir Liga Europa mengatasi Lazio di suku akhir.