Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mahu pasukannya membuktikan keupayaan mereka dan bangkit menentang PKNS FC pada aksi suku akhir kedua Piala FA, malam ini.
Katanya, beliau juga mengharapkan sokongan padu penyokong Perak di setiap ruang Stadium Perak yang baru di naik taraf itu.
Kehadiran penyokong akan membakar lagi semangat anak buahnya untuk mengubah keputusan 1-2 pada aksi suku akhir pertama sebelum ini.
“Apa yang pasti perlawanan ini akan menentukan hala tuju kami. Pemain perlu beri tumpuan sepenuhnya.
“PKNS FC bukan calang-calang pasukan. Perlawanan ini pasti tidak mudah. Perak juga sering dianggap mempunyai badi setiap kali menentang PKNS. Jadi kami mahu membuktikan itu tidak benar,” katanya kepada Berita Harian.
Perak juga berhadapan masalah yang serupa dengan pasukan lain apabila beberapa pemain utama tidak dapat diturunkan iaitu kapten pasukan, Shahrul Mohd Saad akibat penggantungan dan Amirul Azhan Aznan yang akan melangsungkan perkahwinannya.
“Agak malang kami tidak akan mendapat khidmat mereka berdua dalam perlawanan penting ini. Ketiadaan mereka akan dirasai kerana mereka adalah kesebelasan utama Perak,” katanya.
Bagaimanapun, Durakovic berharap mana-mana pemain yang diberi peranan untuk mengisi kekosongan dua posisi itu akan melaksanakan tanggungjawab dalam perlawanan itu.
Buat masa ini, belum diketahui siapakah yang akan bergandingan dengan Nazirul Naim Che Hashim dan Robert Cornwaithe di benteng pertahanan The Bos Gaurus nanti.