Malaysia Piala FA Malaysia

Suku Akhir Piala FA: Misi sukar Kuala Lumpur lakukan ‘comeback’ ke atas Red Giants

Kuala Lumpur berdepan misi mustahil untuk melakukan kebangkitan dalam aksi suku akhir kedua Piala FA berdepan Selangor pada hari Sabtu ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Ketinggalan 3-0 dan kehilangan penyerang utama, Guilherme De Paula yang dilayangkan kad merah dalam aksi pertama, berat tugas buat Kuala Lumpur yang perlu memberikan aksi terhebat mereka musim ini jika mahu layak ke separuh akhir.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kita dihidangkan dengan beberapa perlawanan yang menunjukkan aksi comeback bertenaga. Antaranya seperti aksi AS Roma yang menewaskan Barcelona, Juventus yang berjaya mengikat Real Madrid di Bernabeu sebelum tewas kepada sepakan penalti Cristiano Ronaldo dan juga Manchester United yang bangkit daripada ketinggalan dua gol di separuh masa pertama untuk menang 3-2 ke atas Manchester City.

Dalam bolasepak apa sahaja boleh terjadi. Melakukan comeback selepas ketinggalan 3-0 adalah satu perkara yang sukar, tapi tidak mustahil jika pemain memberikan 200%.

Kuala Lumpur musim ini agak aneh. Mereka mampu memberikan aksi hebat ketika menentang pasukan seperti Kedah, JDT dan Pahang tetapi sering tersilap langkah ketika menentang Selangor. Kuala Lumpur musim ini membuktikan mereka mampu bersaing dengan pasukan hebat,jadi jika kena pada strategi dan pemain mempunyai semangat tinggi, tidak mustahil City Boys untuk menewaskan Selangor.

Namun, apa yang menyulitkan tugas Kuala Lumpur untuk menumbangkan Red Giants adalah mereka kehilangan penggempur utama Guilherme De Paula. Tanpa kelibat De Paula, mereka perlu bergantung kepada Zaquan Adha dan juga penyerang simpanan Ibrahim Syaihul yang mungkin tidak setajam De Paula. Berdepan pemain pertahanan seperti Willian Pacheco, tugas Kuala Lumpur lebih sukar.

Satu lagi masalah yang perlu diselesaikan Kuala Lumpur adalah di bahagian pertahanan. Pada musim ini, Kuala Lumpur cuma tidak bolos dalam dua perlawanan, menentang JDT dan Kuching FA. Jika mereka mahu membuat comeback, barisan pertahanan perlu memastikan mereka tidak bolos lagi. Satu berita yang mungkin baik untuk Kuala Lumpur adalah Boburjon Akbarov boleh beraksi dalam perlawanan ini selepas digantung perlawanan dalam aksi pertama.

Sabtu ini kita akan melihat adakah Kuala Lumpur mampu mencipta sejarah melakukan comeback yang hebat atau mereka terus melupakan saingan Piala FA dan fokus kepada Liga Super.