Salam sejahtera, para pembaca Football Tribe sekalian!
Kami ingin mempersembahkan konten terbaru Football Tribe, iaitu ‘Southeast Asia Weekly Best XI’ ataupun Kesebelasan Terbaik Mingguan Asia Tenggara!
Melalui kolaborasi antara panel penulis kami di seluruh Asia Tenggara, kami akan memilih 11 pemain terbaik di Asia Tenggara setiap minggu dan artikel ini akan dimuat naik pada setiap hari Isnin/Selasa!
Untuk edisi pertama, kami telah mengabungkan aksi liga domestik Vietnam, Indonesia bersama persembahan skuad kebangsaan Thailand dan Malaysia minggu lepas. Untuk minggu-minggu akan datang, aksi-aksi Liga Super Malaysia dan juga Liga 1 Thailand akan digunakan sebagai penanda aras.
Berikut adalah senarai 11 pemain yang terpilih dalam edisi pertama Kesebelasan Terbaik Mingguan Asia Tenggara:
Formasi: 3-3-1-3
Penjaga Gol: Awan Setho (Bhayangkara FC)
Penjaga gol muda ini bermain dengan cemerlang dalam dua perlawanan penting minggu lepas. Selepas mencatat clean sheet untuk membantu skuad B-22 Indonesia seri 0-0 bersama Singapura B-22, Awan kemudiannya menunjukkan aksi yang cukup cemerlang untuk Bhayangkara, apabila mereka turun berdepan dengan Persija Jakarta dalam perlawanan pembuka tirai Liga 1 Indonesia 2018. Dia membuat beberapa tepisan penting untuk mengekang impak Marko Simic dalam perlawanan tersebut.
Pertahanan: Lam Anh Quang (SHB Da Nang)
Pemain berusia 26 tahun ini memainkan peranan yang cukup penting apabila SHB Da Nang turun berentap dengan Sanna Khanh Koa minggu lepas. Dia membuat beberapa terjahan penting, sekaligus memastikan bahawa pasukannya mencuri satu mata daripada perlawanan tersebut, biarpun gagal mengawal bola. Persembahan tersebut membantu Anh Quang menerima panggilan ke dalam skuad kebangsaan Vietnam untuk perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Jordan.
Pertahanan: Pansa Hemviboon (Thailand)
Bintang Buriram United ini diberikan tugas yang berat oleh ketua jurulatih Thailand, Milovan Rajevac dan dia berjaya memikul tanggungjawab tersebut dengan cemerlang. Pansa bukan sahaja membantu Thailand seri 0-0 dengan Gabon sebelum mara ke final Piala Raja-Raja, malah dia turut menjaringkan satu gol ketika bertemu Slovakia di pentas final, meskipun mereka akhirnya tewas 2-3.
Pertahanan: Mamadou Al Hadji (Borneo FC)
Jika ada satu faktor besar di belakang kebolehan Borneo FC seri 0-0 bersama Sriwijaya pada perlawanan pertama Liga 1 Indonesia tempoh hari, ia adalah persembahan yang ditunjukkan oleh Mamadou Al Hadji. Pemain yang berasal daripada Mali ini muncul sebagai pemain terbaik perlawanan tersebut selepas bermain dengan cukup cemerlang. Highlight persembahannya adalah apabila dia berjaya menghalang percubaan Makan Konate yang hampir pasti menembusi gawang gol Borneo FC.
Tengah: Thitipan Puangchan (Thailand)
Rakan sepasukan Kiko Insa di Bangkok Glass FC ini masih belum menyerlah di pentas Liga 1 Thailand, namun dia muncul antara pemain terbaik Thailand dalam dua perlawanan Piala Raja-Raja. Walaupun Thitipan sebenarnay pemain tengah yang bersifat defensif, dia digunakan sebagai 'box-to-box midfielder' oleh Milovan Rajevac - keputusan yang akhirnya membawa keluar kualiti sebenar yang dimiliki oleh pemain ini.
Tengah: Ho Khac Ngoc (Song Lam Nghe An)
Antara pemain yang menyerlah ketika Song Lam menewaskan Johor DT di pentas Piala AC, Ho Khac Ngoc turut menjadi hero mereka di saingan liga apabila berjaya mencatat assist yang membantu Song Lam meraih mata pertama mereka. Dia turut diberi panggilan ke dalam skuad kebangsaan Vietnam untuk perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Jordan.
Tengah: Wilijan Pluim (PSM Makassar)
PSM Makassar berjaya memulakan kempen Liga 1 Indonesia mereka dengan langkah kanan selepas menewaskan PSIS Semarang minggu lepas, dan Wilijan Pluim muncul pemain paling berpengaruh di atas padang dengan satu gol dan satu assist. Sepanjang 90 minit perlawanan tersebut, Pluim nampak pemain paling berbahaya di atas padang dan PSM sudah tentu akan menggunakannya sebagai titik tumpuan di bahagian serangan mereka musim ini.
Tengah: Chanathip Songkrasin (Thailand)
Susah untuk mengambarkan kebolehan pemain ini, jika anda belum pernah menyaksikan persembahannya di atas padang. Minggu lepas, Chanathip sekali lagi mencuri tumpuan di Piala Raja-Raja, selepas membantu Thailand mara ke final, di mana mereka tewas 2-3 di tangan Slovakia. Selepas perlawanan tersebut, Chanathip menerima pujian daripada pemain Southampton, Mario Lemina, yang beraksi untuk Gabon, dan juga ketua jurulatih Slovakia.
Penyerang: Akhyar Rashid (Malaysia)
Walaupun Malaysia hanya sekadar seri 2-2 menentang Mongolia, Akhyar Rashid berjaya mencuri tumpuan dengan persembahan yang bertenaga pada babak kedua perlawanan tersebut. Dia bukan sahaja menekan pertahanan Mongolia secara bertubi-tubi, malah berjaya mencipta jaringan berkelas dunia untuk skuad Tan Cheng Hoe di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Kadang kala, susah untuk percaya bahawa dia masih berumur 18 tahun.
Penyerang: Patiyo Tambwe (Can Tho FC)
Selepas hanya memungut satu mata daripada dua perlawanan pertama, Can Tho FC akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama mereka minggu lepas. Penyerang Congo, Patiyo Tambwe meledak dua kali untuk membantu mereka menumpaskan Becamex Binh Duong.
Penyerang: Fernando Rodriguez Ortega (Mitra Kukar)
Fernando Ortega layak mengemudi jentera serangan pasukan pilihan minggu ini atas dua sebab. Yang pertamanya adalah, Fernando merupakan satu-satunya pemain yang menjaringkan dua gol pada minggu pertama Liga 1 Indonesia. Lebih lagi, dua gol yang dijaringkan oleh pemain ini tiba pada 10 minit terakhir perlawanan Mitra Kukar vs Arema dan membantu pasukannya meraih satu mata daripada perlawanan tersebut.
Kesebelasan Terbaik Asia Tenggara (Mac 23-26)
Anda setuju dengan pilihan panel penulis Football Tribe yang berpangkalan di Asia Tenggara? Kongsikan pendapat anda di laman rasmi Facebook kami!