Tunku Ismail telah mengesahkan bahawa dia sudah meletakkan jawatan sebagai presiden FAM hari ini, tepat satu tahun selepas beliau dilantik ke dalam posisi tersebut.
Perkara ini diumumkan dalam sidang akhbar di Hotel Phoenix, Forest City, Iskandar Puteri di Johor Bahru hari ini, dan Tunku Ismail turut menyenaraikan segala perubahan yang diterapkan ke dalam bolasepak Malaysia dalam masa satu tahun beliau menjadi Presiden.
“Dan kalau kita tengok, saya juga dapat membawa ramai penaja-penaja di mana kali pertama dalam sejarah setiap pasukan yang bertanding terima hampir RM3 juta (Liga Super) dan juga RM1 juta (Liga Premier), dan insya-ALLAH ia akan meningkat.
“Selepas itu kita kalau tengok dari segi struktur, dari segi hubungan dengan penyokong, lebih baik dari sebelum ini. Dan kita boleh tengok pasukan kebangsaan bawah 23 tahun, bawah 19 tahun, bawah 16 tahun melakukan dengan baik.
“Bukan sebagai Presiden FAM, tapi sebagai pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Pasukan terhebat dalam negara ini. Dan ramai yang tengok saya sebagai pesaing jadi ramai yang nilai dalam segi yang orang kata kurang arif, kurang bijak.
“Pada saya ini, tak kisah. Saya ada satu prinsip dalam hidup, masa adalah segala-galanya. Tidak kisah berapa kaya atau kuasa seseorang manusia tersebut, apa yang dah hilang lima minit yang lepas tidak akan boleh dibeli balik,” katanya.
Namun, Tunku Ismail akan kekal sebagai Pengerusi Malaysia Football League (MFL), badan yang sebelum ini dikenali sebagai FMLLP.
“Menerusi kongres ini, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) akan melalui proses penjenamaan semula dan dikenali dengan nama Malaysia Football League (MFL).
“MFL dan FAM kini merupakan dua institusi yang tidak berkait, di mana Tunku Ismail sebulat suara dilantik sebagai Pengerusi MFL,” kata Kevin Ramalingam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL.
Pada masa yang sama, Tunku Ismail telah mencadangkan bahawa Datuk Wira Yusuf Mahadi dilantik sebagai Pemangku Presiden FAM sehingga Kongres ke-64 FAM pada 14 Julai 2018.
“Saya syorkan Datuk Wira Yusuf Mahadi dilantik sebagai Pemangku Presiden FAM sehingga kongress ke-64 FAM pada 14 July 2018. Pada pendapat saya, calon paling layak untuk menerajui FAM selepas itu adalah Setiausaha Agung FAM, Dato Hamidin Mohd Amin yang telah sekian lama berkhidmat untuk bolasepak tanahair,” kata Tunku Ismail, melalui kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasmi FAM.