Kolum Luar Negara

Di Francesco bantu AS Roma jadi lebih daripada sebuah pusat beli-belah

Ramon Rodriguez Verdejo, atau dikenali dengan nama Monchi, tiba di Rome pada Mei tahun lalu untuk mengambil alih sebagai Pengarah Bolasepak selepas menikmati 16 tahun dalam posisi yang sama di Sevilla sehingga menghadirkan kejayaan kepada pasukan.

Ketika tiba menyertai Giallorossi, dia mengumumkan dalam kenyataan pertama bahawa legenda pasukan, Francesco Totti, akan bersara, sebelum pengendali, Luciano Spalletti, mengikut jejak langkah pemain itu beberapa bulan kemudian, selepas membawa Roma menamatkan Serie A dengan 87 mata.

Dia kemudian dilihat melakukan perubahan mendadak kepada senarai pemain, termasuk melepaskan beberapa pemain utama seperti Wojciech Szczesny (Juventus), Antonio Rudiger (Chelsea), Leandro Paredes (Zenit) dan pemain yang mencipta impak paling besar pada musim lalu di Itali, Mohamed Salah, ke Liverpool.

Pengurus baru diumumkan, bersama lapan orang pemain baru sehingga membuatkan pengamal media di Itali mula menyifatkan kenyataan Monchi bahawa Roma bukan pusat beli-belah sebagai satu bahan jenaka tatkala apa yang dilihat adalah satu proses pembaharuan di bawah kendalian Eusebio Di Francesco yang tampak kurang daripada segi pengalaman.

Bagaimanapun, pengurus dari Itali itu tidak berdepan masalah untuk memenuhi harapan kepadanya. Dia mengekalkan kedudukan ketiga liga buat pasukan tetapi dalam masa sama, Di Francesco memacu La Magica ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali dalam masa 10 tahun, membuktikan dia bukan satu pengganti yang sembarangan.

Selain Aleksandar Kolarov yang membuktikan kehadirannya ke Itali sebagai satu kejutan, tiada seorang peminat pun yang kini mula mempersoalkan tindakan Roma melepaskan pemain-pemain hebat sebelum ini selepas menyaksikan taktikal serta percaturan Di Francesco menjadi.

Kepercayaan yang diberikan kepada Alisson Becker juga berhasil selepas dia melakukan 27 aksi lebih banyak berbanding penjaga gol lain untuk memastikan gawang Roma tidak dibolosi di tempat sendiri dalam semua kejohanan musim ini.

Cengez Under, Stephan El Shaarawy dan Diego Perotti pula meraih musim yang cemerlang dengan larian-larian deras, memberikan lebih ruang buat Edin Dzeko untuk terus membuktikan kematangannya di depan gol lawan walaupun pada awal musim, dia menyatakan kerinduan terhadap gandingannya bersama Salah. Dzeko telah dimanipulasi oleh Di Francesco untuk berubah daripada mesin gol kepada ketua jentera serangan Roma.

Dzeko masih belum mencecah separuh daripada catatan jaringan yang dicipta pada musim lalu tetapi kini memegang kadar hantaran tertinggi dalam pasukan, mengetuai Roma meranapkan harapan Serie A Napoli, menundukkan Chelsea dan Shakhtar Donetsk dalam saingan Liga Juara-Juara.

Mungkin ini satu bukti bahawa Di Francesco berhak menerima lebih banyak pujian?

Oleh Ramez Nathan
(www.football-italia.net)

Untuk menyaksikan siaran langsung perlawanan Serie A, sila layari laman web rasmi SportsFix.TV!