Bola sepak di Itali menjanjikan antara seteru yang banyak. Salah satu yang sering mencuri perhatian adalah Juventus dan Fiorentina. Berbeza dengan seteru lain yang wujud disebabkan perebutan trofi dan tempat tinggal, dua pasukan ini menghasilkan kebencian antara satu sama lain.
Permusuhan dua kelab ini bermula pada tahun 1982, dimana ketika itu Fiorentina berpeluang untuk menjulang Serie A. Bagaimanapun, harapan itu musnah apabila mencatat keputusan terakhir dalam perlawanan terakhir sementara Juventus mencipta kemenangan. Dua keputusan itu mencetuskan kontroversi kerana jaringan yang diraih Fiorentina ketika bertemu Cagliari dinafikan, sementara Juve dilihat seperti dihadiahkan sepakan penalti ketia menentang Catanzaro.
Sejak itu, kebencian yang sangat dalam mula tercetus. Mereka menganggap skuad The Old Lady telah menikam mereka dari belakang. Antara isu yang paling utama adalah perihal tentang legenda Azzurri, Roberto Baggio.
Pada tahun 1990, Baggio yang merupakan pemain kesayangan La Viola didapatkan oleh Juve menerusi satu perpindahan yang memecahkan rekod di Itali. Rusuhan tercetus oleh penyokong-penyokong Fiorentina kerana Baggio mendedahkan dirinya tidak mahu menyempurnakan perpindahan itu.
Hasil daripada dua insiden itu, pertemuan antara dua kelab ini sentiasa mencetuskan bahang dan kehangatan baik di luar atau dalam padang. Namun, segala rasa benci dan dendam daripada dua pasukan ini akhirnya reda. Malangnya, ia hadir dalam keadaan yang tidak diundang, iaitu ketika pengebumian kapten La Viola, Davide Astori, pada 9 Mac lalu.
Wujud sebuah kisah yang menyentuh hati di sebalik cerita kematian Astori. Ketika itu, Bianconeri baru sahaja meraikan kemenangan ke atas Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah di Wembley. Namun, kebangkitan saat akhir di England itu tidak langsung diraikan dengan senyuman lebar pemain-pemain Juve disebabkan masih kelu dengan pemergian Astori.
Di bilik persalinan, ketua pasukan, Gianluigi Buffon, memberitahu bahawa dirinya dan pengurus, Massimiliano Allegri, telah menempah sebuah pesawat khas untuk membawa mereka ke Florence pada jam empat pagi untuk menghadiri upacara pengebumian.
Bagaimanapun, Buffon juga menjelaskan ia bukan satu kewajipan kerana faham kemungkinan rakan sepasukannya kepenatan selepas melalui satu perlawanan yang amat getir. Ia juga ditambah dengan pesawat yang hanya boleh memuatkan 12 orang termasuk dirinya dan Allegri.
Apa yang terjadi beberapa jam kemudian sungguh menyentuh hati. Kesemua pemain daripada skuad Bianconeri yang ke England telah menunggu di ruang hotel untuk ikut terbang ke Florence! Namun, atas sebab yang dinyatakan, hanya Giorgio Chiellini, Mehdi Benatia, Miralem Pjanic, Andrea Barzagli, Claudio Marchisio, Daniele Rugani, Buffon, Allegri serta pembantunya, Marco Landucci yang menaiki pesawat itu sementara Federico Bernadeschi yang tidak turut serta ke Wembley menaiki kereta dari Turin ke Florence.
Sebaik sahaja mereka tiba di Santa Croce dimana berlangsungnya upacara itu, pintu belakang telah disediakan buat pemain-pemain Juventus untuk menghindari sebarang perkara yang tidak diinginkan kerana kebencian penduduk Florence terhadap juara Itali itu.
Sebaliknya, Buffon membuat keputusan untuk memasuki ruang tersebut melalui pintu depan sama seperti tetamu lain. Tanpa dijangka, keberanian Buffon dan rakan sepasukannya itu telah mengundang tepukan gemuruh semua orang yang berada di dalam dewan tersebut, sekaligus berlaku sesuatu perkara yang mungkin hanya terjadi sekali dalam sejarah. Ia membuatkan Buffon dan rakan-rakan sangat berbangga.
“Pergi ke Florence bukan sesuatu yang mudah buat pemain Juventus. Namun, kami disambut baik apabila tiba di sini. Saya merasa bangga kerana ini adalah perpisahan terakhir buat seseorang yang bukan sahaja rakan karib tetapi individu yang hebat dalam dunia bola sepak,” kata Buffon.
Hujah-hujah bahawa ada perkara yang lebih besar berbanding bola sepak memang benar. Kedua-dua pasukan “boleh” saling membenci kerana perseteruan membuatkan bola sepak semakin menarik. Namun, skuad Juventus dan Fiorentina harus tahu bahawa Astori pergi dengan senyuman selepas menyatukan dua pihak dengan penuh kedamaian.
Semoga tenang di sana, David Astori.