Malaysia Liga Super Malaysia

Lima bekas pemain import Negeri Sembilan yang kini membintangi pasukan lain

Negeri Sembilan sudah mula membina reputasi sebagai sebuah pasukan mampu mencari pemain import berkualiti, tetapi sering gagal mengekalkan pemain-pemain tersebut untuk lebih daripada satu atau separuh musim. Perkara ini akan lebih jelas jika anda perhatikan skuad mereka pada tahun 2016.

Skuad Jang pada tahun tersebut menunjukkan momentum yang cukup positif pada enam bulan pertama, tetapi keputusan pihak pengurusan untuk menukarkan pemain import pada pertengahan musim memberi impak yang negatif terhadap momentum pasukan. Akibatnya? Mereka hanya sekadar habis di tempat ketiga.

Antara pemain yang mereka lepaskan pada tahun tersebut adalah Andrew Nabbout, yang hari ini menerima panggilan ke dalam skuad kebangsaan Australia buat kali pertama dalam kariernya.

Berikut adalah senarai lima bekas pemain import Negeri Sembilan yang kini membintangi pasukan lain:

ANDREW NABBOUT

Andrew dibawa masuk oleh Negeri Sembilan untuk musim 2016, ketika Gary Phillips menjadi ketua jurulatih mereka dan bintang Australia itu berjaya menjaring 9 gol dalam 14 perlawanan, sebelum dilepaskan pada pertengahan musim. Nabbout kembali ke pentas A-League untuk menyertai Newcastle Jets, dan semenjak 18 bulan lepas, dia berkembang menjadi antara pemain terbaik di Australia. Dua hari lepas, pemain sayap kiri itu berhijrah ke pasukan gergasi Jepun, Urawa Reds. Hari ini pula, dia menerima panggilan ke dalam skuad kebangsaan Australia buat kali pertama.

MARKO SIMIC

Penyerang yang berasal daripada Croatia ini menyertai Negeri Sembilan pada bulan December 2016 dan meskipun berjaya meledak 8 gol dalam 12 penampilan, Simic dilepaskan oleh pihak pengurusan Jang pada pertengahan 2017. Dia kemudiannya menyertai Melaka United, di mana Simic berjaya menghasilkan 12 gol dalam 12 perlawanan. Kontraknya bersama Melaka tidak dilanjutkan pada hujung musim lepas, dan Simic kemudiannya menyertai Persija Jakarta. Walaupun musim baru Liga 1 Indonesia masih belum bermula, Simic sudah meledak 14 gol dalam 9 perlawanan pra-musim - rekod yang cukup menakjubkan.

LEE TUCK

Sesiapa yang melihat aksi Lee Tuck bersama Terengganu musim ini akan sedar bahawa dia merupakan antara pemain import yang paling unik di Malaysia. Bekas pemain Nakhon Ratchasima ini bukan sekadar mampu menjaringkan gol, malah dia turut boleh bermain sebagai seorang playmaker. Lee Tuck sempat menjaringkan 9 gol dalam 29 penampilan untuk Negeri Sembilan musim lepas, namun kontraknya tetap tidak dilanjutkan untuk 2018.

TAYLOR REAGAN

Taylor Reagan merupakan seorang lagi pemain import daripada skuad 2016 mereka yang sepatutnya dikekalkan. Bekas bintang Newcastle Jets itu memainkan peranan yang cukup sebagai kapten pasukan di bahagian pertahanan, dan berjaya membantu Negeri menduduki tempat ketiga di Liga Premier, selain mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia. Selepas meninggalkan Negeri, Taylor kembali beraksi di A-League bersama Adelaide United dan kini adalah antara tonggak paling berpengalaman dalam skuad pasukan tersebut.

JOEL CHIANESE

Walaupun Joel Chianese tidak begitu menonjol bersama skuad Sabah, corak permainanya ketika Negeri Sembilan wajar diberi pujian. Tetapi walaupun dia menjaringkan lapan gol, Chianese tetap dilepaskan pada pertengahan musim 2016 bersama Andrew Nabbout. Penyerang yang berusia 28 tahun itu kini bermain untuk Perth Glory di pentas A-League, dan baru-baru mencipta assist untuk membantu pasukannya seri 1-1 menentang Western Sydney Wanderers.