Bolasepak dan ayat-ayat yang melucukan.
Kalau dulu, kita ada pepatah mengenai burung camar oleh Eric Cantona, kini kita ada ayat-ayat menarik dari pengurus AC Milan, Gennaro Gattuso.
“Kami bukan Brad Pitt, kami perlu terus menjadi buruk seperti saya dan jambang saya, dengan lingkaran hitam di bawah mata.”
Apa yang dimaksudkan Gattuso sebenarnya adalah mengenai dia tidak kisah mengenai permainan cantik, tetapi semangat juang dan melawan anak buahnya menjelang perlawanan bertemu Arsenal di San Siro Khamis nanti.
Bekas pemain tengah AC Milan ini telah mengejutkan ramai pihak apabila berjaya membawa Milan bangkit dari persembahan buruk dan kini sudah melalui 13 perlawanan tanpa kalah dan tidak bolos dalam enam perlawanan sebelum ini.
“Saya mahu jelaskan ini, saya bukan seorang jurulatih yang hebat. Saya masih belajar. Saya bukan seorang pakar dan belum mencapai apa-apa. Pada masa yang sama, saya bukan orang seperti yang anda fikirkan.
“Anda tidak belajar mengenai kerjaya ini menerusi buku, anda belajar menerusi kekecewaan. Saya telah melaluinya dan akan melaluinya lagi.”
Pada awal musim ini, AC Milan dijangka menjadi pencabar utama kejuaraan Serie A selepas berbelanja besar dengan mendapatkan pemain-pemain hebat seperti Leonardo Bonucci, Hakan Calhanoglu, Ricardo Rodriguez dan ramai lagi.
Tetapi prestasi buruk mereka di bawah kendalian Vincenzo Montella ketika itu menyebabkan Milan terkeluar dari saingan perebutan kejuaraan. Pada November 2017, Montella telah dilucutkan jawatan dan Gattuso dibawa masuk. Kini, walaupun Milan tidak akan dapat merebut kejuaraan Serie A, tetapi mereka kini bersaing untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara atau Liga Europa sekurang-kurangnya.