Luar Negara

Bekas pemain Terengganu sertai kelab tentera di Indonesia

Dari membantu Terengganu bersaing ke Liga Super kepada membantu pasukan tentera beraksi di Liga 1 Indonesia.

Bekas pemain Terengganu, Gustavo Lopez secara rasmi menyertai PS Tira yang sebelum ini dikenali sebagai PS TNI, kelab di Indonesia yang boleh dikatakan sama seperti ATM FC di Liga Malaysia.

Indonesia dan Gustavo tidaklah asing kerana kelab pertamanya selepas berhijrah keluar dari Brazil adalah Persela Lamongan pada tahun 2006. Selain itu, dia juga pernah beraksi berama Arema Cronus pada tahun 2013-2014 sebelum berpindah untuk merasa nasi dagang di Terengganu.

Memetik laporan Kompas.com, ketua jurulatih PS Tira, Rudy Eka Priyambada menyatakan Lopez boleh menjadi contoh kepada pemain-pemain muda di kelab itu.

“Saya bersyukur kami dapat pemain yang kami inginkan.

“Saya berharap Gustavo akan dapat memberikan persembahan terbaiknya untuk kami dalam Liga 1 nanti. Dia juga boleh menjadi contoh kepada pemain-pemain muda pasukan kami.”