AFC Cup

Penyerang Persija akui bakal berdepan misi sukar berdepan JDT

Penyerang Persija Jakarta, Marko Simic mengakui bahawa pasukannya bakal berdepan misi sukar menentang juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’azim dalam perlawanan Piala AFC malam esok.

“Mereka sebuah pasukan yang sangat kuat dengan barisan pemain yang sangat bagus. Kami harus berkerja keras dan konsisten jika mahu menang,” kata Simic seperti dilaporkan media Indonesia, Bola.com.

Simic yang pernah beraksi di Malaysia bersama Melaka United dan Negeri Sembilan sudah cukup tahu mengenai kekuatan JDT.

“Ya, saya sudah tahu kekuatan JDT. Mereka sangat kuat dan pastinya sukar untuk kami menang bermain di tempat mereka.

“Kami memiliki waktu yang sedikit untuk persiapan. Namun, kami tetap perlu berjuang dan mencari jalan untuk menggunakan waktu yang ada untuk mencari kecergasan.”

Termasuk perlawanan bertemu JDT, Persija terpaksa menempuh tiga perlawanan dalam tempoh masa lima hari. Kelab yang terkenal dengan jolokan Macan Kemayoran itu menang ke atas PSMS Medan dalam aksi separuh akhir kedua Piala Presiden semalam dan akan beraksi di perlawanan akhir Piala Presiden pada hari Sabtu ini.