Bintang Pahang, Mohamadou Sumareh telah menyelar spekulasi yang mengatakan beliau telah diberi kerakyatan Malaysia dan bakal diberi panggilan oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, dalam masa terdekat.
Semalam, beberapa gambar Sumareh yang kononnya diambil di Jabatan Pendaftaran Negara, mula tersebar di media sosial tetapi pemain tersebut menggesa para peminat untuk tidak terpedaya dengan berita palsu tersebut.
“Ia adalah gambar lama bersama peminat dan saya nasihatkan kepada semua pihak supaya tidak percaya dengan berita itu,” kata Sumareh kepada Arena Metro.
Pemain yang berasal daripada Gambia itu tiba di Malaysia buat kali pertama pada tahun 2013, apabila dia menyertai pasukan PDRM sebagai pemain import.
Selepas tiga tahun bersama The Cops, Sumareh berpindah ke Perlis untuk musim 2016, sebelum kembali bermain di bawah Dollah Salleh bersama skuad Pahang pada tahun 2017 sehingga kini.