Sebuah pasukan dari Liga perdana, Kuantan FA berdepan masalah kewangan yang serius dan hutang yang menimbung. Masalah ini menyebabkan beberapa pemain pasukan Kuantan FA tidak berpuas hati dan memohon agar pihak tuan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Presiden Pahang FA mengambil tindakan segera agar gaji mereka dibayar tepat pada masanya.
Menurut surat memorandum daripada pemain Kuantan FA yang tular di media sosial dan laman fb padangbolasepak, mereka menuntut agar pihak pengurusan Kuantan FA menyelesaikan isu gaji tertunggak lebih 11 bulan dengan segera.
“Kami sebagai pemain bola sepak professional yang bermain di dalam sebuah kelab professional di Malaysia, berasa sangat tidak wajar sekiranya masalah gaji masih lagi timbul. Lebih mengecewakan apabila kami tidak dibayar gaji lebih daripada 11 bulan,” kenyataan daripada surat memorandum itu.
Lebih memilukan apabila terdapat beberapa pemain tidak dapat menyambut hari raya Aidilfitri dan Aidiladha kerana kekurangan duit. Malah pemain import pasukan itu tidak dapat pulang ke negara masing-masing.
“Dengan keadaan kami tanpa gaji sekarang, sangat menyukarkan untuk kami menjalani hidup seperti orang lain. Kami tidak dapat menyambut hari raya seperti keluarga lain. Lebih teruk lagi, bagi pemain yang mempunyai anak dan isteri yang perlu di sara. ”
“Jurulatih pasukan tidak dapat meneruskan latihan seperti biasa disebabkan ada segelintir pemain yang tidak mempunyai wang untuk mengisi minyak kereta mereka. Pemain import pula, tidak dapat balik ke negara masing-masing semasa cuti disebabkan mereka tidak mempunyai duit untuk membeli tiket kapal terbang. Bukan itu sahaja, kami terpaksa mengikat perut untuk membeli makanan,” katanya.
Dengan menulis surat memorandum ini, mereka berharap agar pelbagai pihak dapat membantu permasalahan yang di hadapi oleh mereka.
“Tujuan kami menulis surat ini bukanlah dengan niat untuk menunding jari atau menyalahkan pihak pengurusan Kuantan FA, tujuan kami adalah supaya pihak Tuan dapat sama-sama membantu permasalahan yang kami hadapi. Kami sedar, Kuantan FA bukanlah seperti kelab bola sepak yang lain seperti Kelantan dan Selangor, tetapi kami sebagai pemain juga manusia biasa yang perlu dilayan secara adil. Kami cuma meminta hak/gaji kami sebagai pemain kerana kami yakin kami juga patut dilayan seadilnya,” jelasnya.
Sementara itu seorang penyokong yang dikenali sebagai Rimau XI berpendapat industri bolasepak Malaysia ini tidak sustainable.
” Mana ada kerja lain yang menuntut prestasi tahap antarabangsa tapi gaji 11 bulan tak bayar. Melainkan pemain bolasepak. Kau orang yang gaji tiap-tiap bulan dibayar on time pun mengular minum pagi. Bila ke stadium, nak tengok pemain buat skill macam pemain kelab EPL, La Liga. Pemain tu gaji pun tak dapat. Anak bini ikat perut. ”
“Apa puncanya? Mudah, perbelanjaan lebih daripada pendapatan. Industri bolasepak Malaysia ini tak sustainable. Macamana nak settle? Pertama, tambah pendapatan. Kedua, kurangkan perbelanjaan. Sekarang ini banyak pasukan yang hanya bergantung kepada satu sumber pendapatan: kerajaan tempatan, syarikat GLC, orang kaya. ”
“Bila sumber pendapatan tunggal ada masalah kewangan, jadilah cacamarba gaji tak bayar. Inilah jadinya bila buat pasukan/kelab tapi tak fikir tentang fanbase. Siapa nak beli tiket? Siapa nak taja jika stadium kosong?,” katanya.