Sukan SEA

Annuar Musa mahu FAM melakukan transformasi dalam sistem penjualan tiket

Walaupun kejohanan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) telah melabuhkan tirainya semalam, namun isu penjualan tiket aksi final melibatkan acara bola sepak terus menjadi perbualan hangat dalam kalangan penyokong tegar sukan berkenaan.

Kelemahan sistem penjualan tiket bagi penentuan pingat emas itu turut dilihat menjadi punca kepada berlakunya kekecohan di luar Stadium Shah Alam, gara-gara kegagalan untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan pertemuan musuh tradisi temasya sukan dwi tahunan tersebut.

Justeru, Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa  menyarankan agar pihak terbabit termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat  menjadikannya sebagai satu iktibar dan perlu melakukan transformasi terhadap sistem penjualan tiket pada masa akan datang.

Padangan dari atas yang memaparkan ribuan penyokong beratur panjang untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA selasa lepas.

Menurutnya, perkara itu (penjualan tiket) perlu ditangani segera bagi memastikan kejadian sama tidak berulang khusunya dalam aksi-aksi penting seperti perlawanan final antara Malaysia dan Thailand, semalam.

“Jadi mereka yang berkaitan perlu melakukan transformasi dalam sistem penjualan tiket bukannya masih mengguna pakai sistem yang sama jual di kaunter.”

“Sepatutnya penjualan tiket perlu dilakukan secara ‘online’, bila penyokong beli tiket online mereka boleh tebus tiket di kaunter tiket dan tidak akan mengambil masa yang lama untuk beratur bagi mendapatkan tiket mereka,” katanya kepada Sinar Harian di Kuala Terengganu.

Mengulas lanjut cadangan  agar dihapuskan pemberian tiket percuma kepada pihak-pihak tertentu, Annuar  bagaimanapun  tidak bersetuju dengan perkara  itu dan menyifatkan mereka yang mendapatkan tiket tersebut adalah dalam kalangan penaja, pihak-pihak yang banyak menyumbang dan terlibat dalam sukan bola sepak.

“Mereka bukan dapat percuma, jadi  adalah tidak adil sekiranya ia dihentikan  kerana untuk  mendapatkan tiket ini mereka juga perlu membayarnya dengan penajaan dan juga penglibatan mereka,” katanya.

FAM, bagaimanapun menerusi laman Facebook rasminya menafikan pihaknya bertanggungjawab di atas kepincangan sistem penjualan tiket berkenaan kerana telah menyerahkan tanggungjawab itu kepada  Sekretariat Kuala Lumpur 2017 (MASOC) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). – Sinar Harian

https://www.facebook.com/FAMalaysiaOfficial/posts/1411734135590013