Luar Negara

Pemain muda Indonesia bakal sertai kelab Bolton Wanderers

Pemain muda Indonesia yang berdarah campuran, Ezra Walian bakal menyertai kelab League One Inggeris, Bolton Wanderers. Beliau yang berada dalam tempoh percubaan dengan kelab itu selama seminggu sedang mencari kelab baru setelah kelab lamanya, Jong Ajax tidak melanjutkan kontraknya.

Ezra turut menerima tawaran daripada 5 buah kelab bolasepak tetapi Bolton Wanderers paling serius untuk mendapatkan khidmat pemain yang berusia 19 tahun itu.  Kelab Inggeris tersebut masih menaruh kepercayaan dan yakin dengan kemampuan Ezra untuk membantu kelab itu.

“Ezra telah menjalani tempoh percubaan selama seminggu di Bolton. Kami masih berunding dengan kelab itu dan akan memuktamadkan kontrak dalam masa terdekat,” kata ejennya, Wide Putra Ananda.

Ezra merupakan produk akademi Ajax Amsterdam dan pernah mewakili skuad kebangsaan Belanda di peringkat remaja tetapi dia memilih untuk menyertai skuad kebangsaan Indonesia di peringkat Senior.

Ezra juga dijangka akan menyertai skuad Indonesia U22 untuk menghadapi saingan sukan SEA di Kuala Lumpur bulan depan. Beliau akan melapor diri di kem latihan pusat skuad kebangsaan Indonesia pada 5 Ogos depan.

“Latihan fizikal masih dilakukan setiap hari kecuali pada hari cuti. Tetapi masih belum tahu bila dia akan berangkat kerana baru sahaja mendapat panggilan daripada PSSI minggu lepas,” jelas ejennya.

Kehadiran Ezra pasti akan menambah sengat di bahagian serangan skuad kebangsaan Indonesia bawah 22 tahun dan menjadi ancaman kepada pasukan Malaysia, Thailand dan Vietnam.