Menurut laman rasmi FAM, seramai enam pemain telah melapor diri untuk kem latihan pusat skuad Projek Sukan SEA 2017 (skuad B-22 kebangsaan) kendalian Datuk Ong Kim Swee di hotel penginapan di Shah Alam, hari ini bagi persiapan menghadapi Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Bangkok, Thailand dari 19 hingga 23 Julai ini.
Mereka terdiri daripada dua pemain Selangor – Adam Nor Azlin dan Syahmi Safari; Amierul Hakimi Awang (Terengganu), Ahmad Khairil Anuar Zamri (Perak), Irfan Zakaria (Kuala Lumpur) dan Danial Amier Norhisham (Felda United).
Baki 15 pemain lagi akan melapor diri secara berperingkat dengan Arif Fadzillah Abu Bakar (T-Team) pada 7 Julai; Syazwan Zaipol Bahari (PKNP FC) pada 8 Julai; Haziq Nadzli dan Safawi Rasid (JDT), Syazwan Andik Ishak (JDT II) serta Adib Zainudin dan N Thanabalan (Felcra FC) pada 9 Julai dan Raphi Azizan Mariappen (PJ Rangers) pada 10 Julai.
Lima pemain Kedah – Ifwat Akmal Chek Kassim, Ariff Farhan Md Isa, Farhan Roslan, Syafiq Ahmad dan Amirul Hisyam Awang Kechik serta Tommy Mawat Bada (Sarawak) dan Danial Ashraf Abdullah (Kelantan) pula akan melapor diri pada 12 Julai.
Sementara tarikh melapor diri tiga pemain Pulau Pinang – Syamer Kutty Abba, S Kumaahran dan Jafri Firdaus Chew serta dua pemain Pahang – Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih masih dalam perbincangan.
Berikutan situasi semasa ini, perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu skuad B-22 Myanmar di Stadium Shah Alam pada 13 Julai ini akan ditangguhkan ke 14 Julai sebelum skuad 23 pemain terakhir pilihan Kim Swee berlepas ke Bangkok pada 17 Julai.
Skuad Malaysia u22 dijadualkan bertemu Indonesia pada 19 Julai, Thailand pada 21 Julai, dan Mongolia 23 Julai.