Ketua jurulatih pasukan Pahang Dollah Salleh menafikan bekas penyerang import Kelantan, Dickson Nwakaeme akan kembali menyarung jersi skuad Tok Gajah seperti yang diperkatakan di laman sosial dan media elektronik. Beliau turut memberitahu Pahang kekal dengan barisan pemain sedia ada tanpa sebarang pertukaran apabila saingan Liga Super bersambung bulan depan.
“Pahang kekalkan pemain sedia ada dan fokus utama sepanjang Ramadan ini adalah meningkatkan tahap kecergasan pemain,” katanya.
Minggu lepas Dollah Salleh mendedahkan ramai pemain tempatan menunjukkan minat untuk menyertai skuad Tok Gajah pada jendela perpindahan kedua. Walaubagaimanapun, pihak pengurusan merasakan tiada keperluan untuk menukar pemain sedia ada kerana mereka menunjukkan komitmen yang tinggi sehingga membantu pasukan mara ke perlawanan akhir Piala FA.
Setakat ini Pahang menyenaraikan pemain import dari Argentina, Yamil Romero dan pemain 22 tahun itu sempat beraksi pada perlawanan akhir Piala FA lalu. Romero menggantikan Bright Dike dari Nigeria dalam usaha memperkasakan jentera serangan Pahang untuk baki saingan Liga Super serta persediaan menghadapi saingan Piala Malaysia 2017.
Pasukan Pahang memulakan sesi latihan 1 Jun lalu, semua pemain sudah bersama kecuali enam pemain iaitu kapten Matthew Davies, Ahmad Syamim Yahya, Wan Zaharulnizam Zakaria, Nor Azam Azih, Mohd Afif Amiruddin dan Mohd Faisal Rosli yang dipanggil menjalani latihan pusat bersama skuad kebangsaan.
sumber: berita harian