Luar Negara

26 Jahitan Akibat Langgar Tiang Gol Berkarat, Brisbane Roar Hantar Bantahan Rasmi Kepada AFC

Dalam pertemuan ke 5 peringkat kumpulan AFC Champions League diantara Muangthong United dan Brisbane Roar, penjaga gol pasukan berpangkalan di Brisbane itu, Jamie Young telah mengalami luka dibahagian siku kerana tercucuk ‘ring’ pengikat jaring di tiang gol, ketika cuba menyelamatkan tandukan Xisco – gol pertama Muangthong United.

Pihak pengurusan kelab Brisbane Roar melalui Professional Football of Australia (PFA) telah  memutuskan untuk menghantar bantahan rasmi mengenai perkara itu kepada AFC dan telah menyiapkan semua dokumen rasmi perkara itu.

Menurut presiden PFA, John Didulica, berdasarkan kecederaan yang dialami oleh Jamie Young yang menerima 26 jahitan dibahagian siku, jelas menunjukkan tiang gol yang digunakan dalam perlawanan itu tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan dalam ‘AFC Stadium regulation’.

Perlawanan itu asalnya telah ditunda selama 5 minit selepas pembantu pengadil mengesan sesuatu yang tidak kena salah pada satu tiang gol dalam perlawanan itu.

AFC yang telah menerima aduan itu, akan menantikan laporan dari komisioner perlawanan sebelum menentukan apakah hukuman yang bakal dikenakan kepada Muangthong United jika didapati bersalah.