Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim.
Ia menjadikan agregat 7-1 memihak kepada JDT susulan kekalahan 1-0 kepada Kawasaki Frontale pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Bagaimanapun, Negeri Sembilan sememangnya melalui jalan yang sukar untuk menandingi JDT, selepas tewas 0-3 dengan Harimau Selatan pada aksi pertama suku akhir baru-baru ini.
Bergson Da Silva membuka tirai jaringan seawal minit keenam selepas dengan mudah menanduk masuk bola ke dalam gawang.
Tidak menunggu lama, Bergson sekali lagi menggandakan jaringan kedua lima minit kemudian, sebelum gol ketiga dilakar hasil sepakan percuma Juan Muniz yang meletakkan JDT jauh kehadapan pada minit ke-29.
Bergson mempunyai banyak peluang untuk mencipta hatrik khususnya pada minit ke-34, namun gagal memanfaatkan peluang terhidang selepas rembatannya tersasar dari palang.
Namun, pemain pertahanan Negeri Sembilan, Mohamad Zamri Pin Ramli mencipta kejutan apabila rembatannya tepat masuk ke gawang tuan rumah, selepas menerima hantaran dari Mahalli Jasuli pada minit ke-39.
Babak kedua perlawanan pula menyaksikan kedua-dua pasukan berhempas pulas untuk menggandakan jaringan, namun gagal menemui penyudah.
Kelibat Fernando Martin Forestieri yang kembali beraksi setelah pulih daripada kecederaan, melengkapkan malam bermakna buat JDT dengan jaringan keempat pada minit kecederaan.
Keputusan kekal 4-1 sehingga tiupan wisel penamat.