Malaysia Berita

Malaysia: Hanya 25 pemain sertai sesi latihan pertama bersama Kim Pan-gon

Hanya 25 daripada 30 pemain menyertai sesi latihan pertama bersama ketua jurulatih, Kim Pan-gon yang bermula semalam.

Pemain Negeri Sembilan, Khair Jones sedang menjalani kuarantin kendiri selepas dijangkiti COVID-19 manakala pemain JDT, Safawi Rasid mempunyai masalah peribadi.

Bagaimanapun, Khair telah melapor diri dan mula menyertai latihan hari ini.

Pemain PJ City, Darren Lok tidak hadir berikutan mengalami masalah kesihatan.

Liridon Krasniqi dan Dion Cools pula akan menyertai Harimau Malaya ketika skuad itu berada di Singapura bagi perlawanan persahabatan bersiri minggu depan.

Syahmi Safari pula memohon pengecualian susulan kelahiran bayi kembar tiga namun tempatnya digantikan oleh pemain pertahanan Negeri Sembilan, Ahmad Khuzaimi Piee yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia.

“Perancangan asal adalah bagi menggantikan Syahmi dengan seorang pemain pada posisi sama, iaitu bek kanan tetapi pemain Sabah, Rizal Ghazali menolak pelawaan tersebut,” kata Pan-gon dalam kenyataan.

Tumpuan utama Pan-gon dalam sesi latihan ketika ini ialah memastikan anak buahnya dalam keadaan sihat untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan FAS Tri-Nation Series 2022.

Skuad kebangsaan dijadual menentang Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah Singapura pada 26 Mac di Stadium Nasional Singapura sebelum bertemu pasukan Liga Singapura, Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar.

Pemain dijadual berlatih di Stadium Nasional Bukit Jalil selama lapan hari sebelum berlepas ke Singapura pada 22 Mac.