JDT terpaksa tampil berdepan Nagoya Grampus malam ini tanpa kelibat dua pemain.
Shane Lowry dan Afiq Fazail tidak dapat beraksi selepas mereka mengutip dua kad kuning namun Mauricio dan Leandro Velazquez kembali menguatkan kesebelasan utama pasukan.
Benjamin Mora bagaimanapun mendapati para pemainnya sedang mengalami keletihan.
“Memang tidak dinafikan pemain begitu keletihan menempuh jadual padat,” katanya kepada Berita Harian.
“Bukan itu sahaja kami perlu berada di hotel penginapan dan tidak dibenarkan keluar untuk beriadah, sebaliknya hanya keluar dari hotel penginapan ke pusat latihan.
“Senario itu bukan mudah untuk minda setiap pemain yang mahukan ketenangan kerana ia nyata mengganggu emosi mereka, namun kami perlu menyesuaikan keadaan dan meneruskan latihan bagi persiapan berdepan kelab dari Jepun itu.
“Walaupun hanya menang satu perlawanan namun corak permainan pada empat aksi lalu memuaskan apabila kami mampu beri saingan dan membuat pasukan lawan berdepan kesukaran sebelum menewaskan kami.”
Mora mengakui JDT hanya mencatatkan satu kemenangan daripada empat perlawanan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia musim ini.
Namun, beliau menganggap pasukannya masih lagi dalam proses mempelajari selok-belok permainan di peringkat antarabangsa.
“Untuk saingan ACL, walaupun kami sudah tiga musim beraksi namun kami masih lagi menimba pengalaman berbanding kelab-kelab dari Jepun dan Korea Selatan yang sudah lama beraksi dalam saingan ini.
“Jadi, kami kena bersedia dalam setiap perlawanan terutama Nagoya Grampus akan tampil agresif untuk mencari kemenangan bagi mengesahkan tempat ke pusingan 16 dan kami akan berusaha beri tentangan sengit.”
Dalam pada itu, Leandro Velazquez yakin JDT boleh menyaingi Nagoya selepas mencatatkan kekalahan tipis 1-0 minggu lalu.
“Ketika aksi pertama menentang Nagoya Grampus, kami mampu mengimbangi kekuatan pasukan itu dan mereka agak sukar untuk mendominasi perlawanan malah hanya mampu jaringkan satu gol sahaja.”