Liga Super Malaysia Berita

Nik Akif batalkan kontrak, tiga lagi pemain tinggalkan Kelantan

Nik Akif Syahiran Nik Mat membuat keputusan mengejut apabila membatalkan kontrak bersama Kelantan.

Bukan pemain berusia 21 tahun itu sahaja, malah tiga pemain lagi bertindak meninggalkan pasukan iaitu Nazrin Nawi, Shahrul Nizam Roshasni dan Danial Ashraf Abdullah.

Astro Arena melaporkan, Kelantan memberikan kebebasan untuk pemain menamatkan kontrak mereka tanpa sebarang pampasan dengan hanya mengisi borang persetujuan pembatalan kontrak.

Ketiadaan Yusri Che Lah juga dilaporkan menjadi faktor utama beberapa pemain enggan bersama Kelantan pada musim depan.

“Saya sudah membatalkan kontrak,” katanya kepada Astro Arena.

“Untuk tahun depan, Insya-Allah saya akan bersama pasukan lain.”

Nik Akif ketika ini sedang dikaitkan dengan perpindahan ke negeri jiran, Terengganu.

Nazrin Nawi yang baru sahaja menyertai Kelantan pada awal tahun ini mendedahkan beliau membatalkan kontrak kerana syarat-syarat baharu yang dikenakan.

“Saya tidak bersetuju dengan kontrak yang baru kerana mereka tidak mahu ikut kontrak lama.

“Kelantan FA sudah ditukar kepada Kelantan FC. Saya tidak tahu apa yang sedang berlaku, jadi saya meminta surat pelepasan.”