Liga Super Malaysia Berita

Melaka United dalam bahaya, Naruphon Putsorn bawa kes tunggakan ke FIFA

Nampaknya Melaka United dalam bahaya apabila Naruphon Wild Putsorn membawa isu tunggakan gaji ke pengetahuan FIFA.

Ini selepas pemain tengah berusia 32 tahun itu berdepan empat bulan tunggakan gaji, selepas hanya menerima gaji pada bulan Februari, bulan yang sama beliau menyertai pasukan itu.

Justeru, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pihaknya akan berunding dengan Naruphon.

“Kalau dilihat pada kenyataan pemain itu, dia seperti tidak dilayan sewajarnya,” katanya kepada Sinar Harian.

“Saya fikir kalau ada perbincangan yang lebih baik, dia tidak akan ambil tindakan sebegini.

“Walaupun isu gaji lambat, tetapi kita tetap akan bayar. Kalau ada penyelesaian secara persetujuan bersama itu lebih baik.

“Setiausaha Agung dan Penasihat Undang-undang akan berhubung dan memberi kefahaman lebih baik kepada pemain ini supaya dia berpuas hati dan tidak menjadikan isu ini lebih besar.”

Naruphon menamatkan kontrak bersama Melaka United pada 24 Julai lalu selepas beberapa minggu timbul spekulasi bahawa dia akan meninggalkan pasukan itu.

Dalam satu laporan The Star, dia membuat keputusan untuk membawa kes itu kepada FIFA kerana isu tunggakan gaji itu memberi kesan besar kepada diri dan keluarganya.

Malah, Naruphon mengakui mahu terus bersama Melaka, namun sikap acuh tak acuh daripada pihak pengurusan menyebabkan dia mengambil keputusan drastik.