Ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar percaya bahawa pasukan Hijau Kuning itu mampu bangkit pada musim depan dengan lebih cemerlang.
Pemain berusia 31 tahun itu turut menegaskan sebagai pemain bola sepak profesional, dia perlu fokus dan sentiasa berfikiran positif untuk aksi di masa hadapan. Usaha keras daripada para pemain mampu untuk membawa skuad Helang Merah ke satu tahap yang membanggakan.
Ketiadaan tiga pemain utama iaitu Renan Alves, Rizal Ghazali, dan Fernando Rodriguez pada perlawanan akhir menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu ternyata dirasai oleh pasukan. Perancang Kedah itu turut mengakui perkara tersebut. Namun, dia kekal positif dengan pemain-pemain yang menggantikan tempat tiga pemain tersebut.
‘Bukan rezeki kami pada tahun ini. Tetap saya yakin Kedah akan sekali lagi ke Bukit Jalil pada tahun depan’, katanya kepada wartawan.
Baddrol yang akan menyertai kem latihan pusat bersama skuad kebangsaan juga menjelaskan Kedah masih dalam proses pembinaan pasukan dan pengurusan baru dalam tempoh 10 bulan. Tambahnya lagi, pencapaian pada musim ini harus dipuji dan segala kelemahan perlu diperbaiki.
Baddrol juga muncul pemain yang paling banyak membuat bantuan gol dalam saingan Piala Malaysia 2019 dengan lapan umpanan daripada 11 perlawanan.