Selangor mengumumkan peletakan jawatan Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatih berkuatkuasa serta-merta.
Peletakan jawatan itu berlaku hanya beberapa hari selepas Selangor tewas kepada JDT 3-0 dalam Liga Super. Namun, kedudukan Nidzam sudah dipersoalkan sejak kalah 6-1 kepada JDT dalam final Piala FA.
Menurut Selangor, beliau telah memohon untuk mengundur diri dari mengemudi pasukan utama Selangor dan pihak kelab menghormati keputusan beliau.
“Kelab ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Nidzam Jamil atas sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Selamat maju jaya dan terima kasih diucapkan kepada Nidzam Jamil atas segala sumbangan dan komitmen beliau kepada Selangor.”
Dibawah bimbingan beliau, Selangor kini sedang berada di antara kelompok teratas liga, muncul naib juara Piala FA musim ini, serta menduduki tempat teratas Kumpulan H untuk saingan AFC Champions League 2.
Tugas ketua jurulatih Selangor akan digalas oleh Abdi Hassan secara interim sebelum pelantikan jurulatih baharu.