Malaysia Berita

FAM lancar Liga Wanita Nasional musim 2024

FAM telah mengadakan Majlis Pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) bagi musim 2024.

Objektif utama penganjuran liga bola sepak wanita kebangsaan kali ini bakal menyaksikan pelbagai pembaharuan di mana kesemua perlawanan akan dijalankan di stadium selain pelbagai promosi media akan dijalankan bagi mempromosikan lagi sukan bola sepak wanita.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah hadir bagi merasmikan Liga Wanita Nasional 2024 bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Liga bola sepak wanita ini jelas menunjukkan bahawa sukan ini memiliki potensi yang cerah jika terus diberikan peluang dan berada di landasan yang tepat.

“Peningkatan dari segi penyertaan pasukan bagi musim 2024 kali ini juga mencerminkan populariti dan pengiktirafan kepada bola sepak wanita di negara kita.

“Tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha mewujudkan ekosistem serta hala tuju bola sepak wanita bagi mencapai aras kecemerlangan sukan di Malaysia dan seterusnya ke peringkat antarabangsa,” kata Hannah.

8 pasukan terdiri daripada tiga pasukan baharu iaitu Melaka, Red Eagles SC (Kedah) dan Real CJ FC (Pulau Pinang) bersama lima pasukan dari musim 2023 iaitu Sabah, Selangor, Kelana United FC, Malaysian University dan SSMP akan berentap bagi merebut gelaran juara 2024.

Apa yang menjadikan Liga Wanita pada tahun ini lebih manis adalah pencapaian pasukan Sabah selaku juara 2023 telah layak ke pusingan pertama AFC Women’s Champions League 2024 buat julung-julung kalinya.

Dengan hashtag rasmi 2024, ‘I Lead The Game’, FAM berharap ia dapat memberikan kesemua pemain bola sepak wanita keyakinan untuk memacu sukan ini seterusnya menjadi ikon buat para pemain muda di dalam dan luar padang menerusi liga ini.

LWN 2024 dijadualkan bermula pada Sabtu, 6 Julai 2024 dengan perlawanan pembukaan di antara Kelana United menentang Selangor di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada jam 4.00 petang.