Malaysia memerlukan lebih banyak pasukan bola sepak wanita dibentuk pada masa hadapan.
Ini bagi memastikan usaha membangunkan bola sepak wanita adalah usaha yang kolektif membabitkan persatuan bola sepak negeri, kelab-kelab, pihak universiti dan FAM.
“Tanpa usaha bersama ini, sudah tentu objektif untuk membangunkan bola sepak wanita di Malaysia tidak dapat dicapai,” kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
“Dengan kewujudan lebih banyak pasukan bola sepak wanita di dalam negara, kumpulan bakat pemain akan dapat berkembang sekali gus membuka ruang untuk kita melihat lambakan pemain wanita di dalam arena bola sepak negara.
“Bukan itu sahaja, FAM juga ingin melihat lebih ramai lagi bakat kejurulatihan wanita dibentuk dan ini hanya akan dapat dicapai dengan tambahan penyertaan pasukan di dalam Liga Wanita Nasional.
Turut hadir pada majlis penutup kursus berkenaan adalah Exco FAM, Datuk Suraya Yaccob dan Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah selaku Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM.
Hadir sama, Exco FAM, Mohd Joehari Ayub dan ACP (B) Md Dali bin Wahid, Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell serta Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dan Ketua Jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi merangkap Ketua Unit Bola Sepak Wanita FAM.
Seramai 20 peserta terdiri daripada ketua jurulatih dan jurulatih pasukan bertanding di Liga Wanita Nasional 2023, jurulatih sekolah sukan serta jurulatih terpilih dari persatuan bola sepak telah menyertai kursus selama tiga hari itu yang telah dikendalikan oleh Pakar Teknikal FIFA, Karl Dennis Dodd dari Brisbane, Australia, dibantu oleh ketua unit akar umbi FAM, Cameron Ng.