Piala Malaysia Berita

Selangor tersingkir, Terengganu jumpa KL City di separuh akhir Piala Malaysia 2023

Naib juara Piala Malaysia tahun lalu, Selangor tersingkir apabila tewas kepada Terengganu dalam agregat 3-1 di Kelana Jaya semalam.

Ia memberi laluan kepada Terengganu untuk berjumpa Kuala Lumpur City pada separuh akhir pertama pada 20 Okt ini dan separuh akhir kedua pada 3 Nov ini.

Selangor bermula garang selepas ketinggalan 2-0 dalam agregat namun Terengganu mengukuhkan kelebihan jaringan apabila Ivan Mamut menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-23.

Terengganu memperoleh sepakan penalti selepas Safuwan Baharudin menjatuhkan Nor Hakim Hassan.

Selangor yang cuba menyamakan kedudukan berhasil dengan penyudah Safuwan yang menanduk masuk bola ke dalam gawang selepas menerima hantaran penjuru Faisal Halim pada minit ke-69.

Asakan demi asakan dilakukan kedua-dua pasukan namun masing-masing gagal menjarakkan kedudukan dan keputusan kekal 1-1 hingga ke wisel penamat.

Di Kuantan, KL City mara ke separuh akhir mengikat Pahang seri 1-1 untuk mara ke peringkat separuh akhir dengan agregat 2-1.

Beraksi di atas padang becak, tuan rumah terlebih dahulu agresif memberikan tekanan namun skuad pelawat terlebih dahulu meledak jaringan pada minit ke-29 menerusi Romel Oswaldo Morales dengan tandukan.

Di separuh masa kedua, skuad Tok Gajah yang berusaha untuk merapatkan jurang jaringan, berjaya memecah kebuntuan pada masa kecederaan melalui sepakan penalti Lucas Da Silva.

Pada aksi suku akhir pertama, 17 Sept lalu, skuad The City Boys itu menang 1-0.