Malaysia Berita

Malaysia bangkit dari ketinggalan, pertahan rekod tanpa kalah

Malaysia bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat pasukan ke-94 terbaik dunia, Syria 2-2 pada perlawanan persahabatan di Chengdu, China.

Ia sekali gus mempertahankan rekod tanpa kalah dalam aksi persahabatan sejak Mac lalu.

Persembahan lebih kemas dan bertenaga pada separuh masa kedua menjadi titik perubahan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon, yang berjaya menjaringkan gol masing-masing menerusi pemain gantian Akhyar Rashid dan Darren Lok.

Pada pertembungan itu yang juga aksi pertama Malaysia di tempat lawan sejak Januari lepas, pasukan negara dan Syria bermula garang, apabila saling berbalas serangan dalam memburu gol awal.

Usaha dilakukan Syria yang dibimbing pengendali dari Argentina Hector Cuper, akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-12 menerusi rembatan kencang Mardek Mrdkian, selepas pemain tengah Brendan Gan lambat mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

Tersentak dengan gol awal itu, Malaysia bangkit memperkemaskan permainan dan berjaya mencipta beberapa peluang jaringan antaranya menerusi Corbin Ong pada minit ke-15 dan Faisal Halim ( minit ke-28), namun berjaya diselamatkan penjaga gol Ahmad Madanieh.

Syria melebarkan jurang jaringan selepas menambah gol kedua pada minit ke-41 menerusi tandukan Yasin Alsamya, yang melepasi kawalan Corbin untuk melompat tinggi dan menanduk sepakan penjuru Mahmoud Al Mawas, sekali gus meletakkan pasukan selesa mendahului 2-0 menjelang rehat.

Bersambung separuh masa kedua, Malaysia jelas menguasai permainan berbanding pasukan lawan yang diberi julukan Qasioun Eagles itu, dengan Pan-gon menggunakan kesemua enam pertukaran pemain untuk meningkatkan lagi intensiti pasukan.

Percaturan membawa masuk Akhyar menggantikan Arif Aiman Mohd Hanapi menjadi, apabila pemain sayap JDT itu merapatkan kedudukan pada minit ke-51, dengan melepasi perangkap ofsaid untuk menyambut hantaran jauh Endrik Dos Santos.

Faisal, Darren dan Matthew Davies, masing-masing mempunyai peluang terbaik untuk mencipta nama sebagai penjaring selepas itu, tetapi penyudah masing-masing tumpul di depan gawang.

Bagaimanapun, Darren akhirnya menceriakan kem negara apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-85, selepas menolak masuk bola muntah berpunca rembatan Safawi Rasid yang ditampan penjaga gol gantian Taha Mousa.

Tahun ini, Malaysia mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam aksi persahabatan, masing-masing bertemu Turkmenistan, Hong Kong, Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea, selepas tewas 0-3 kepada Thailand pada separuh akhir kedua Piala AFF 2022, Januari lalu.

Malaysia akan menentang China yang menghuni ranking dunia ke-80, pada satu lagi aksi di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, Sabtu ini.