Malaysia Berita

Tiada Dion Cools kali ini, Natxo Insa kembali selepas 5 tahun

Senarai pemain terbaru yang diumumkan jurulatih negara, Kim Pan-gon bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan minggu depan menunjukkan beberapa perubahan.

Antaranya, kapten negara, Dion Cools tidak dapat bersama-sama untuk menyertai kem latihan pusat kali ini kerana melangsungkan majlis perkahwinannya.

Namun, Natxo Insa dipanggil semula sertai skuad kebangsaan selepas kali terakhir beraksi adalah 5 tahun lalu.

Turut dipanggil semula adalah Junior Eldstal dan Shahrel Fikri Md Fauzi, penjaga gol, Azri Ab Ghani dan satu-satunya muka baharu kali ini, Syahir Bashah iaitu pemain sayap Selangor.

Secara keseluruhan, Pan-gon telah mengekalkan seramai 17 daripada 27 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu di Johor Bahru, Johor pada Mac lalu.

Seramai 10 pemain dipanggil kali ini termasuk lima pemain dari skuad Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 iaitu Safawi Rasid, Mukhairi Ajmal Mahadi, Haqimi Azim Rosli, Azam Azmi Murad dan Lee Tuck.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi menentang Kepulauan Solomon pada Rabu, 14 Jun 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin disusuli Papua New Guinea pada Selasa, 20 Jun 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.