![](https://football-tribe.com/malaysia/wp-content/uploads/sites/13/2023/02/141F7861-07B3-42B7-922B-12CBFC6E99E9.jpeg)
Safee Sali hari ini mengumumkan persaraan beliau pada usia 39 tahun 23 hari.
Persaraannya bermakna, beliau menamatkan kariernya selepas 20 tahun beraksi sebagai pemain bola sepak profesional.
Jaringannya semasa Malaysia menewaskan Indonesia dalam perlawanan akhir bagi menjulang Piala AFF 2010 buat kali pertama dalam sejarah akan sentiasa diingati sepanjang zaman.
Secara keseluruhan, beliau telah beraksi sebanyak 76 kali bersama skuad kebangsaan dan menjaringkan 23 gol bersama Harimau Malaya dari 2006 hingga 2017.
Safee memulakan karier profesional bersama Kuala Lumpur pada 2003 sebelum berhijrah ke Sarawak pada 2005 dan Selangor pada 2006.
Beliau menjulang 5 piala di Selangor termasuk 2 trofi Liga Super dan 2 Piala Sumbangsih.
Kecemerlangannya bersama skuad kebangsaan apabila menjulang Piala AFF mendorong perpindahannya ke kelab Indonesia, Pelita Jaya pada 2011.
Beliau kembali ke Malaysia apabila menyertai JDT pada 2013, memenangi 7 piala termasuk 3 Liga Super dan Piala AFC.
Selepas itu, beliau berkelana ke beberapa pasukan seperti PKNS (2018), Perlis (2019) dan PJ City (2020).
Beliau menjulang trofi terakhir dalam kariernya bersama KL City apabila menewaskan JDT dalam final Piala Malaysia 2021.
Safee kini berkhidmat sebagai Presiden PFAM, persatuan yang membela nasib dan kebajikan pemain bola sepak Malaysia.