Malaysia Berita

Malaysia mula tunjuk belang, meskipun tanpa 11 pemain utama JDT

Skuad negara memulakan misi Piala AFF 2022 apabila menewaskan Kemboja 4-0 dalam perlawanan persahabatan di Bukit Jalil.

Kemenangan itu berjaya diraih dengan barisan muka baharu, meskipun tanpa 11 pemain JDT.

Walaupun baru satu perlawanan, ia seolah-olah menunjukkan Malaysia mempunyai ramai pemain dari Liga Super yang boleh diketengahkan untuk skuad kebangsaan.

Di sebalik mengharungi hujan lebat dengan padang dipenuhi air sepanjang perlawanan serta kehadiran hanya sekitar 5,000 penyokong, ia tidak menghalang skuad negara untuk mencatat kemenangan.

Faisal Halim muncul pemain paling menyerlah apabila menjaringkan 2 gol iaitu pada minit ke-11 dan di hujung separuh masa pertama.

Lee Tuck pula menjaringkan gol pertama di peringkat antarabangsa apabila berjaya menyudahkan hantaran Faisal Halim pada minit ke-38.

Stuart Wilkin melengkapkan kemenangan Malaysia apabila menyudahkan bola muntah hasil tendangan Safawi Rasid pada minit ke-86.

Malaysia akan bertemu Maldives pada Rabu, 14 Disember di Stadium Bolasepak Cheras, Kuala Lumpur.