Kuala Lumpur City akan berdepan Al-Seeb dalam perlawanan final Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 Okt ini, berbanding gelanggang rasmi Stadium Bolasepak Cheras.
Ini kerana, stadium tersebut tidak memenuhi kriteria untuk menganjurkan final Piala AFC antaranya lampu limpah dan ketiadaan alat bantuan pengadil (VAR).
“Kalau mereka (AFC) nak guna VAR, mereka memerlukan 1,800 lux untuk lampu limpah yang mana stadium ini tidak ada, jadi ia hanya isu teknikal,” kata jurulatih KL City, Bojan Hodak dalam sidang media semalam.
“Sebenarnya, semua jurulatih dan pemain nak beraksi di Cheras kerana kita dah biasa dengan stadium ini tetapi disebabkan isu teknikal kita kena beraksi di Bukit Jalil.”
Ini kali kedua KL City beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam perlawanan final selepas menjulang Piala Malaysia tahun lalu.
Sebelum ini, Stadium Bolasepak Cheras pernah menganjurkan final Piala AFC apabila kelab Lebanon, Al-Ahed menewaskan kelab Korea Utara, April 25 1-0 pada 2019.