Liga Super Malaysia Berita

Nafuzi Zain: Tahun ini mungkin tahun terakhir saya bersama Terengganu

Buat pertama kalinya Nafuzi Zain mengakui bahawa tahun ini mungkin tahun terakhir beliau berkhidmat sebagai jurulatih Terengganu.

Jurulatih berusia 43 tahun itu sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan lain, namun setiap kali muncul soalan mengenai statusnya, Terengganu menafikannya. Tetapi kali ini, Nafuzi sendiri mengakuinya.

“Saya tidak menolak kemungkinan besar musim ini adalah tahun terakhir saya bersama Terengganu,” kata Nafuzi dalam sidang media selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas Pulau Pinang.

“Itu sahaja yang boleh saja jelaskan setakat ini, maknanya berkemungkinan besar saya akan berhijrah bersama pasukan lain.

“Saya di sini pun belum mendapat apa-apa lagi tawaran, jadi saya perlu buat persiapan awal demi karier saya, inilah masa yang sesuai untuk saya mencari pengalaman baharu bagi mengembangkan lagi karier sebagai jurulatih.”

Katanya, beliau juga telah memberikan khidmat yang terbaik untuk Terengganu sepanjang tiga tahun mengendalikan pasukan itu dan akan berusaha untuk membantu pasukannya ke final Piala Malaysia dan layak ke Piala AFC.

“Berkemungkinan tahun terakhir saya, mungkin terjadi, jadi kita lihat nanti macam mana, tapi saya sangat sayangkan Terengganu, keluarga saya pun suka tinggal di sini.

“Tapi demi karier, saya perlu cari cabaran baharu, cukuplah rezeki saya selama ini di sini, ada pahit dan manis, apa-apapun saya akan berusaha memberikan yang terbaik buat Terengganu untuk layak ke final Piala Malaysia dan pentas Asia.

“Saya begitu terharu dan berterima kasih kepada peminat setia Terengganu yang menyokong saya dari awal musim lagi, atas sokongan penyokonglah saya berada di sini, ini satu penghargaan yang besar kepada saya dan sampai sekarang pun mereka tetap menyokong dan bersama dengan saya.”

Sejak dilantik sebagai jurulatih Terengganu pada musim 2020, Nafuzi membantu pasukannya meraih tempat ke-3 Liga Super, tempat ke-4 dalam liga bagi musim 2021 dan naib juara Piala FA 2022.