E. Elavarasan menegaskan bahawa skuad B-23 negara akan beraksi lebih agresif dan dominan berbanding skuad negara yang dikendalikan oleh Kim Pan-gon.
Ini selepas beliau dilantik sebagai ketua jurulatih baharu B23 bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Brad Maloney.
“Sudah tentu kita akan ikut falsafah skuad senior,” katanya dalam sidang media.
“Tetapi skuad B23 kita akan lebih agresif dalam sesi latihan, kita akan ambil lebih banyak risiko.
“Kita mahu pemain lebih dominan dan agresif daripada skuad senior, lebih dinamik dan lebih banyak menyerang.
“Sudah tentu kita akan seimbangkan pasukan dengan menguatkan pertahanan, tetapi kita mahu cara permainan kita memaksa pasukan lawan membuat lebih banyak kesilapan..menjadikan pertahanan pihak lawan tidak seimbang.
“Jadi, kita akan lebih agresif berbanding pasukan senior. Apabila mereka dipilih beraksi dengan pasukan senior nanti, mereka sudah matang dan boleh mencapai tahap permainan skuad senior.”
Elavarasan akan dibantu penolong ketua jurulatih, Juan Torres Garrido; jurulatih kecergasan Park Ji-hyeon; jurulatih penjaga gol Kris Yong dan jurulatih analisis prestasi, Lee Je-yoon.
“Saya berbesar hati menerima tugas ini,” katanya lagi.
“Terima kasih kepada jurulatih Kim yang percaya bahawa barisan kejurulatihan baharu ini akan membantu skuad negara dalam mengetengahkan pemain yang diperlukan di masa akan datang.
“Apabila saya yang terlibat dengan skuad senior tiba-tiba ditugaskan untuk mengendalikan skuad B-23..ia tugas yang sukar, kerana situasinya amat berbeza dengan skuad senior.
“Jurulatih perlu menyenaraikan pemain terbaik untuk skuad senior dan memastikan mereka mendapat keputusan yang baik.
“Di B23, kita perlu mengenal pasti bakat, amat penting untuk masa depan bola sepak negara, kerana pasukan negara akan dibentuk melalui bakat yang dipilih.”