Benjamin Mora membuat kejutan apabila membuat keputusan untuk meninggalkan JDT serta-merta, walaupun saingan Liga Malaysia masih belum berakhir.
Ini selepas beliau tidak mengendalikan pasukan JDT dalam dua perlawanan baru-baru ini.
“Benjamin telah meminta untuk membenarkan beliau pulang ke Mexico bagi menyelesaikan urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan,” kata Johor Southern Tigers.
“JDT telah menghormati permintaan tersebut dan akan membiarkan pintu sentiasa terbuka untuk beliau kembali pada masa akan datang.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengucapkan terima kasih kepada Benjamin Mora atas khidmat baktinya.”
Mora merupakan jurulatih JDT yang paling berjaya dalam sejarah apabila memenangi 4 juara Liga Super Malaysia, 4 juara Piala Sumbangsih, satu juara Piala Malaysia dan membawa JDT ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC tahun ini.
Mora juga telah mengendalikan 148 perlawanan sepanjang dua kali tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017, dan memenangi 102 perlawanan.